suria

Penggajian Semula: Majikan Daftar 10,239 Pati Setakat Akhir Februari

PUTRAJAYA: Seramai 10,239 pekerja asing didaftarkan oleh 2,210 majikan untuk Program Penggajian dan Penempatan Semula Pekerja Asing Tanpa Izin (Pati) atau 'Rehiring Programme' dari 15 Februari sehingga 28 Februari lepas.

Namun, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed tidak berpuas hati dengan bilangan itu yang dianggapnya sangat sedikit.

"(Bilangannya) amat rendah. Nak kata mereka menghadapi kesulitan mendaftar, ia tidak berasas kerana pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian dan mereka tidak perlu ke pejabat Imigresen atau syarikat untuk mendaftar semula Pati," katanya.

Bercakap kepada media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen Malaysia 2015 kepada 813 penerima di sini, hari ini, beliau berkata majikan yang tidak cekap teknologi maklumat atau tidak mengetahui pendaftaran secara dalam talian, boleh mengunjungi cawangan Imigresen bagi mendapatkan khidmat nasihat.

Program penggajian dan penempatan semula Pati itu dimulakan dari 15 Februari  hingga 31 Disember ini memberi peluang kepada Pati dari 15 negara sumber yang bekerja secara haram di negara ini, diberikan permit kerja yang sah bagi memenuhi sektor pekerjaan yang dibenarkan.

Beliau berkata yuran pendaftaran RM800 bagi seorang Pati adalah berpatutan dan adil, selain turut mengambil kira pelbagai kos yang ditanggung kerajaan ekoran kemasukan pekerja asing termasuk kesihatan, keselamatan, penahanan dan penghantaran pulang.

Nur Jazlan berkata yuran pendaftaran di Malaysia adalah lebih rendah berbanding negara-negara lain seperti Singapura dan Timur Tengah yang menggunakan jumlah pekerja asing yang ramai. 

Sehubungan itu, beliau menasihatkan majikan supaya bertanggungjawab terhadap pekerja asing masing-masing termasuk menjaga kebajikan dan menepati perjanjian yang dibuat serta menanggung segala kos yang diperlukan.-- Bernama


Artikel Lain