suria

TH Lapor Polis, Gesa Rafizi Dedah Maklumat

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli digesa mendedahkan bank yang bertanggungjawab memberikan jaminan korporat kepada syarikat bersekutunya, TH Heavy Engineering Bhd (THHE) seperti yang didakwa wakil rakyat pembangkang itu.

Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi kenyataan pada Ahad berkata, pihaknya kesal dengan tuduhan tidak berasas yang boleh menjejaskan kepentingan pendepositnya.

Sehubungan itu TH membuat laporan polis terhadap Rafizi yang juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Langkah ini diambil oleh TH bagi menjaga kepentingan para pendeposit dan reputasi TH sebagai sebuah institusi Islam di Malaysia. TH akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan secepat mungkin.

"TH amat kesal dengan penyebaran dokumen-dokumen melalui laman sosial secara rambang dan tuduhan tidak berasas serta berunsur fitnah," demikian menurut kenyataan itu.

Sebelum ini Rafizi mendakwa TH memohon Kementerian Kewangan untuk meluluskan jaminan korporat berjumlah AS$228.2 juta (RM963.9 juta) kepada THHE.

Permohonan itu difailkan menerusi satu surat yang bertarikh 12 November 2015.

Tabung Haji, Rafizi Ramli

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain