suria

TPPA Bukan Lampu Ajaib Tentukan Peningkatan Nilai Ringgit - Mustapa

Mustapa Mohamed.

PUTRAJAYA: Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) bukan lampu ajaib untuk menentukan peningkatan nilai mata wang negara di pasaran antarabangsa, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata turun naik mata wang negara banyak bergantung kepada pelbagai faktor antaranya harga minyak mentah dan kelembapan ekonomi China serta persepsi hubungkait keduanya dengan ekonomi Malaysia.

"Sebenarnya, minyak hanya merupakan 8.5 peratus daripada ekport negara manakala eksport utama sebanyak 80 peratus merupakan barangan pembuatan.

Dagangan dengan China pula hanya 16 peratus, bukan 20 atau 30 peratus tetapi disebabkan persepsi, nilai ringgit kita banyak bergantung kepada faktor itu.

"Tetapi pada suku keempat tahun lepas apabila berlaku kemasukan modal ke dalam pasaran ekuiti telah menyebabkan sedikit peningkatan nilai ringgit," katanya pada sesi taklimat bersama warga kerja Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini Khamis.

Menyentuh mengenai hubungan dagangan antara China dan Malaysia, beliau berkata selepas menyertai TPPA, China tetap menjadi rakan dagang utama Malaysia.

Menurutnya, China merupakan rakan dagang utama bagi lebih 120 negara termasuk Malaysia.

Beliau berkata walaupun ekonomi China dilihat sedikit menyusut, namun ia masih sebuah pasaran besar dan mempunyai pelbagai permintaan dan keperluan.

Bercakap kepada pemberita selepas taklimat itu, Mustapa turut memberi jaminan bahawa perjanjian TPPA tidak akan memecah-belahkan negara ASEAN seperti didakwa beberapa pihak, malah hubungan 10 negara itu akan menjadi lebih kukuh.

Ditanya mengenai hasrat tiga negara ASEAN yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada TPP, beliau berkata: "Memang benar, pemimpin Thailand, Filipina dan Indonesia telah menunjukkan minat itu dan sudahpun bermula mengetahui lebih lanjut tentang TPP.

"Ketiga-tiga negara itu telah menyatakan hasrat tersebut semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi di Amerika Syarikat baru-baru ini. Anggota negara ASEAN yang menyertai TPPA akan bersama negara lain untuk memberi penjelasan kepada mereka," katanya.

Bagaimanapun, Mustapa berkata kemasukan Thailand, Indonesia dan Filipina hanya akan berlaku selepas 2018 kerana perlu ada persiapan dan perlu memahami proses rundingan perjanjian itu.

"Sekarang, pada peringkat memberi penjelasan. Malaysia pun mengambil masa lima tahun. Ia bukan satu proses yang cepat dan senang. Selepas 2018, 12 negara yang menyertai TPP akan menimbang penyertaan negara-negara baharu dalam TPP," jelasnya.

Mengenai terma perjanjian TPP, Mustapa menjelaskan isu tanah, Bumiputera dan kebudayaan merupakan antara contoh yang terkandung dalam syarat dan terma perjanjian perdagangan itu.

"Yang penting ialah Perlembagaan, agama dan dasar-dasar penting berkaitan perusahaan kecil dan sederhana, agama Islam serta kuasa Persekutuan dan Negeri.

"Oleh kerana, kita tidak mahu TPPA bercanggah dengan Perlembagaan, kita berjaya memastikan TPPA tidak menyentuh Perlembagaan negara semasa rundingan tersebut," katanya. - BERNAMA


TPPA, Mustapa Mohamed

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain