suria

Ecah Berisi, Makin Terima Hakikat - Ibu

KLANG: Pelajar yang putus kedua-dua kaki akibat digilis lori ketika pulang dari sekolah, Siti Nuraisyah Shahrin mula menerima hakikat perlu meneruskan kehidupan tanpa kedua kakinya.

Ibunya, Maimunah Md Razali, 48, berkata, anaknya juga makin menunjukkan perkembangan positif dan dapat menerima kenyataan musibah yang menimpa dirinya.

"Sekarang Ecah dah faham, dah faham kaki dia macam ni.

"Saya nampak badannya pun dah berisi sikit berbanding mula-mula dia dimasukkan ke hospital, makannya pun berselera," katanya ketika ditemui mStar Online di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, di sini pada Sabtu.

Mendengar kata-kata ibunya itu, Siti Nuraisyah yang ketika itu sedang berbaring di katil tersenyum malu.

Maimunah berkata, walaupun tidak lama dulu Siti Nuraisyah pernah bertanya sama ada kakinya akan tumbuh semula atau tidak, kini persoalan itu tidak timbul lagi.




Malah, Maimunah berkata, anaknya yang berusia 13 tahun itu cukup tabah dan kuat semangat untuk meneruskan kehidupannya.

"Selama dia masuk hospital, dia tak pernah menangis kecuali ketika cuci luka tapi selain daripada itu dia tak menangis.

"Kalau dia rasa takut pun, semasa dibius sebab dia kata nampak doktor, jururawat dan kami semua macam robot," katanya, kali ini disambut ketawa kecil Siti Nuraisyah pula.

Maimunah yang kini menghabiskan sepenuh masanya di hospital untuk menjaga Siti Nuraisyah berkata, sebagai ibu, keadaan dirinya daripada segi mental juga bertambah baik.

"Sebagai ibu, kesedihan saya berkurangan sebab tengok keadaan Ecah. Kalau dia boleh hadapi semua ini, kenapa kita tak boleh, saya kena kuat," katanya.

Namun, dia tidak dapat mengagak bila anaknya itu akan dibenarkan keluar dari hospital.

Jelasnya Siti Nuraisyah kini sedang menjalani rawatan fisioterapi dan sudah mampu mengangkat tangan serta kakinya.

Pada pertemuan itu, Siti Nuraisyah turut menerima kehadiran Timbalan Ketua Umno Bahagian Kapar Datuk Saroni Judi.

Selain menerima sumbangan peribadi, pelajar itu juga diberi nasihat dan kata-kata semangat oleh Saroni.

Siti Nuraisyah Shahrin

Artikel Sebelum

Artikel Lain