suria

Proton Perkenal Logo Dan Tagline Baharu

PETALING JAYA: Proton Holdings Bhd melancarkan wajah baharu dan inisiatif berfokuskan pelanggan dalam usaha penjenamaan semula syarikatnya.

Pengeluar kereta nasional itu mendedahkan logo baharunya pada Selasa dan tagline -  It’s in the drive!

Logo hitam dan putih baharunya itu adalah hampir sama dengan logo terdahulu, tetapi perkataan 'Proton' telah dikeluarkan dan lambang harimau diperbesarkan.

Dalam kenyataan akhbarnya, syarikat itu berkata ia menyedari kejatuhan angka jualan dan pasaran saham, dan berusaha untuk melakukan yang terbaik untuk meningkatkan persepsi terhdap jenamanya.

Proton berkata langkah itu akan memberikan kesegaran terhadap logo korporatnya dan pengalaman baharu kepada pelanggan Proton.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Abdul Harith Abdullah berkata inisiatif baharu itu bukan sahaja melibatkan perubahan logo tetapi termasuk janjinya bahawa tumpuan syarikat adalah terhadap pelanggan.

"Kami tidak memenuhi jangkaan pelanggan dengan cara kami berurusan dengan pelanggan-pelanggan kami dan pengurusan Proton sedang berusaha keras untuk turun padang bagi memantau apa yang pekerja kami lakukan," kata Abdul Harith.

Syarikat itu juga menyasarkan untuk meningkatkan perkhidmatan selepas jualan dan memberikan pengalaman yang lebih baik dengan mengadakan aktiviti dan sesi pertemuan dengan pelanggan berpotensi dan sedia ada.

"Kami tidak boleh hanya duduk dan menunggu orang ramai untuk menyokong dan membeli kereta kami," kata Abdul Harith.

Proton turut melepaskan baru Pasukan Bantuan Kerosakan Bergerak 24 Jam yang akan menyediakan pelanggan dengan bantuan di jalan raya dan penyelesaian masalah kenderaan  24 jam sehari, tujuh hari seminggu di seluruh negara.

"Hubungan syarikat dengan pelanggan diutamakan," kata Proton.

Artikel Lain