suria

Aliran Trafik Di Lebuh Raya Utama Lancar Malam Ini

KUALA LUMPUR: Trafik di lebuh raya utama dilaporkan lancar kecuali bagi laluan Machap ke Simpang Renggam dan Simpang Renggam menuju Sedenak di Johor yang agak perlahan setakat pukul 8 malam Sabtu.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik PLUS Malaysia Berhad berkata aliran trafik di situ perlahan berikutan pertambahan kenderaan yang melalui kawasan berkenaan.

"Aliran trafik di Lebuhraya Utara Selatan rata-ratanya lancar kecuali dari Bukit Tambun menuju ke Juru serta Bukit Beruntung ke Sungai Buaya berikutan kemalangan yang berlaku.

"Kemalangan kereta di KM 147.3 arah utara di kawasan Bukit Tambun ke Juru berlaku pukul 6.30 petang tadi dan kerja mengalihkan kenderaan masih dilakukan.

"Aliran trafik turut perlahan di kawasan Bukit Beruntung ke Sungai Buaya berikutan kemalangan di KM 434.7 arah selatan pada pukul 8 malam tadi menyebabkan kesesakkan sejauh 500 meter," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia berkata aliran trafik lancar dan terkawal di semua kawasan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

Artikel Lain