suria

Saman Mazlan, Utusan Melayu & TV3, Permohonan Anwar Didengar 22 Februari

KUALA LUMPUR: Permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memadamkan satu perenggan dalam pernyataan pembelaan difailkan Utusan Melayu (M) Bhd dalam saman berhubung dakwaan mengaitkannya terlibat dengan rasuah membabitkan badan kehakiman dan Pejabat Peguam Negara, akan didengar pada 22 Februari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O'hara menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya pada Rabu selepas bertemu peguam Sangeet Kaur yang mewakili Anwar, Elly Azreen Khalid bagi pihak Utusan Melayu dan Lim Qi Shi mewakili Sistem Televisyen Malaysia (TV3).

Sangeet memberitahu pemberita bahawa mahkamah juga memerintahkan TV3 untuk mengemukakan rakaman dan transkrip siaran berita berhubung sidang media yang dikendalikan oleh bekas calon Barisan Nasional (BN) Permatang Pauh, Dr Mazlan Ismail dalam masa dua minggu bermula Rabu.

Pada 15 Oktober tahun lepas, Anwar, 64, selaku plaintif, memfailkan saman itu dengan menamakan Mazlan sebagai defendan pertama, TV3 dan Utusan Melayu, masing-masing sebagai defendan kedua dan ketiga.

Anwar mendakwa Mazlan telah menyebabkan TV3 menyiarkan perkataan fitnah yang disiarkan menerusi Buletin Utama pada 8 malam, 2 Ogos 2013 dan mendakwa Mazlan menyebabkan perkataan fitnah itu diterbitkan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3 Ogos 2013.

Beliau mendakwa Mazlan mengadakan persidangan media yang mengandungi perkataan fitnah yang serius dan berniat jahat membawa maksud beliau seorang yang tidak beretika, terlibat dalam rasuah, melakukan aktiviti berunsur jenayah, tidak jujur dan tidak bermoral.

Anwar menuntut ganti rugi am, teruk, dan teladan serta perintah injunksi yang menghalang defendan daripada mengulangi atau menyiarkan semula perkataan fitnah itu.-- Bernama

Artikel Berikut

Rafidah Jawab Kritik

Artikel Lain