suria

Abang Kawasan 'Pau' Warga Emas Dipenjara 10 Hari

KUALA LUMPUR: Padah mengaku 'abang kawasan' dan meminta wang perlindungan daripada seorang wanita warga emas, seorang bekas pengawal keselamatan dihukum penjara 10 hari dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, Khamis.

Majistret Mohd Rehan Mohd Aris menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Hairizal Isa, 34, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan pemerasan terhadap Chen Li, 69, dengan meminta wang perlindungan di sebuah rumah di Wangsa Maju, di sini pada 3.30 petang, 7 Jan lalu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 26 Jan lepas dan turut memerintahkannya dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah beberapa kali menganggu mangsa dan meminta mangsa menyerahkan wang perlindungan kerana mendakwa dirinya adalah "penjaga kawasan" di perumahan mangsa.

Warga emas itu bagaimanapun tidak menyerahkan wang tetapi memaklumkan perkara itu kepada anaknya yang kemudian membuat laporan polis.

Ketika rayuan tertuduh yang diwakili peguam K.Komagan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan anak guamnya sudah insaf, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Farith Muhammad Faizal memohon hukuman berbentuk pengajaran, mengambil kira faktor emosi mangsa yang telah diperas ugut oleh tertuduh. 

Penjara, Abanf Kawasan

Artikel Lain