suria

Kenaikan Tambang Tak Kurang Kadar Penumpang

Syed Hamid Albar.

KUALA LUMPUR: Kenaikan tambang pengangkutan awam darat yang diumumkan kerajaan sebelum ini tidak menurunkan jumlah penumpang.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, sehingga kini sambutan yang diberikan pengguna pengangkutan awam terutama bagi pengangkutan rel adalah menggalakkan dan tidak menunjukkan penurunan angka penumpang.

"Saya tengok yang banyak jadi perbahasan dan perdebatan adalah dalam media, sebab subjek (tambang) ini sangat menarik.

"Tapi dari segi kadar penumpang ia tak memberi kesan," katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman satu juta penumpang sehari bagi perkhidmatan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di sini, Khamis.

Menurut beliau, walaupun terdapat perubahan dari segi harga tambang, terdapat banyak potongan sehingga 25 peratus diberikan oleh kerajaan seperti diskaun untuk pelajar dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Tambahnya, kerajaan juga masih menanggung kos operasi berjumlah hampir RM250 juta setahun bagi memastikan perkhidmatan terbaik terus dinikmati rakyat.

"Yang menjadi pilihan sebenarnya pengangkutan rel. Walaupun naik, kerajaan masih tampung kos operasi hampir RM250 juta setahun.

"Ini sebenarnya tak memberi kesan kepada angka (penumpang) malah kita lihat ia semakin menggalakkan, kerajaan akan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai," katanya.

Mengenai kemungkinan kadar tambang akan dikaji semula berikutan kejatuhan harga minyak, beliau berkata perkara ini tak sepatutnya dibangkitkan.

"Bila kita tengok harga tambang, kita tengok harga pasaran minyak. Ada kos-kos lain yang perlu ditampung.

"Saya fikir soalan itu tak berbangkit," katanya.

Berkuatkuasa 2 Disember 2015 kadar tambang bagi perkhidmatan monorel, Aliran Transit Ringan (LRT) dan komuter telah dinaikkan.

Tambang bagi perkhidmatan Express Rail Link (ERL) turut dinaikkan bermula 1 Januari tahun ini.

Bagi perkhidmatan teksi dan bas ekspres, kerajaan telah menyemak semula kadar tambang dan tambang bagi teksi telah dinaikkan pada Mac 2015, diikuti dengan tambang bas ekspres pada Mei tahun yang sama.


SPAD, kadar penumpang, tambang

Artikel Lain