suria

Lelaki Ditemui Mati Dipercayai Dipukul Dengan Besi

GEORGE TOWN: Seorang lelaki ditemukan mati dipercayai dipukul dengan sebatang besi di sebuah kedai Perkhidmatan Pengebumian, di Lebuh Carnavon di sini awal pagi Jumaat.

Mayat lelaki yang hanya dikenali sebagai Maniam, 60-an, itu dijumpai berlumuran darah di atas kerusi di bahagian hadapan dalam kedai itu pada 4.30 pagi.

"Terdapat kecederaan kesan hentakan dengan benda tumpul dan keras di kepalanya. Tiada dokumen pengenalan diri ditemui tetapi menurut beberapa saksi, lelaki itu tinggal di sekitar kawasan berkenaan," kata Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid di sini Jumaat.

Beliau berkata sehubungan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 41 tahun yang cuba melarikan diri melalui bahagian belakang kawasan perumahan itu semasa polis tiba di tempat kejadian.

Lelaki terbabit dipercayai bertengkar dengan mangsa, katanya sambil memberitahu polis menemui sebatang besi yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai identiti mangsa agar menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat ASP Mohammad Khalil Khalid di talian 04-2181822 atau 019-4116656.

Sementara itu dalam perkembangan lain, sepasang suami isteri warga England kerugian RM85,000 setelah disamun seorang lelaki yang datang ke kediaman mereka di Lorong Delima, Island Glades di sini, kononnya untuk membeli kerusi kayu yang ingin dijual pasangan berusia 60-an itu.

Mior Faridalatrash berkata antara barang yang dilarikan dalam kejadian 5 petang semalam itu, barangan kemas, berlian, tablet, wang tunai, telefon bimbit dan pasport.

"Rabu lepas (27 Jan) pasangan itu membuat iklan dalam mudah.com untuk menjual perabot kerusi kayu dalam rumah milik saudara mereka dan keesokannya (28 Jan) seorang lelaki berusia 40-an datang ke rumah itu untuk melihat barang yang ingin dijual.

"Semasa mereka berbincang lelaki terbabit memberitahu dia mempunyai kedai emas milik ibunya dan pandai mencuci barang kemas...selepas kira-kira dua jam berbincang dan mencuci barang kemas wanita England itu, lelaki terbabit meminta untuk melihat kerusi kayu yang ingin dijual," katanya.

Beliau berkata pasangan berkenaan naik ke tingkat atas rumah dua tingkat itu untuk mengambil kerusi kayu dan sebaik turun, mereka mendapati lelaki terbabit telah tiada dalam rumah dan barang kemas serta beberapa barangan berharga turut hilang. - BERNAMA

mayat lelaki, pergaduhan

Artikel Lain