suria

Pecah Amanah: Sabitan Terhadap Bekas Eksekutif Kekal, Hukuman Diringankan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan sabitan bersalah seorang bekas eksekutif penyelenggaraan bangunan  kerana melakukan pecah amanah terhadap wang penyelenggaraan milik sebuah syarikat lebih RM1,700 enam tahun lepas.

Hakim Datuk Azman Abdullah bagaimanapun mengurangkan jumlah hukuman penjara enam tahun dan lima sebatan kepada penjara tiga tahun dan dua sebatan selepas membenarkan rayuan yang dikemukakan Abd Rahim Abdul Aziz, 39.

Mahkamah memerintahkan Abd Rahim menjalani hukuman tersebut bermula Rabu.

Pada 20 November 2010, Hakim Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan lima sebatan selepas didapati bersalah melakukan kesalahan pecah amanah ke atas wang berjumlah RM1,740.54 milik sebuah syarikat yang menyelenggara apartment iaitu Segar Apartment Management Corporation.

Dalam prosiding itu, Azman berkata mahkamah mengambil kira keterangan saksi pendakwaan iaitu kerani di syarikat itu yang menyatakan tertuduh telah menandatangani dan mengeluarkan resit pembayaran dengan nombor berbeza.

Azman berkata mahkamah mengambil kira keterangan saksi tersebut yang juga telah menyokong keterangan saksi pendakwaan lain.

"Dengan ini mahkamah mendapati keputusan Hakim Mahkamah Sesyen adalah betul dan tepat. Mahkamah mendapati ia adalah selamat untuk mengekalkan sabitan terhadap tertuduh," katanya.

Mengikut pertuduhan, Abd Rahim didakwa melakukan kesalahan itu di blok G-G-295 Segar Apartment, Jalan 1A, Taman Segar, Cheras, di sini pada 27 November 2010, mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Norazlin Mohammed Yusoff manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fauzi Razali.-- Bernama

Artikel Lain