suria

Jangan Cabar Peguam Negara - Azalina

PETALING JAYA: Semua pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak seharusnya mencabar keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berhubung penutupan kes SRC International dan dana politik berjumlah RM2.6 bilion.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Peguam Negara mempunyai kuasa mutlak untuk menghentikan apa-apa prosiding undang-undang mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

"Kuasa budi bicara yang diberikan kepada Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) adalah mutlak, tidak boleh dicabar atau digantikan oleh mana-mana kuasa termasuk mahkamah.

"Dalam erti kata lain, jika mana-mana pihak tidak setuju dengan tindakan Peguam Negara dalam mengendalikan sesuatu pendakwaan, maka mereka tidak mempunyai asas untuk mencabarnya di mana-mana korum," kata menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Parlimen itu menerusi kenyataan pada Rabu.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 145(3) menyebut bahawa Peguam Negara mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.

Terbaharu, SPRM memutuskan untuk merujuk keputusan Mohamed Apandi berkaitan kes berkenaan kepada Panel Penilaian Operasi (PPO).

Pada Selasa, Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali berkata, pihaknya berpuas hati bahawa tiada kesalahan dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkaitan tiga kertas siasatan yang dikemukakan SPRM berhubung kes SRC International dan dana RM2.6 bilion.

Mohamed Apandi berkata, beliau sudah mengarahkan ketiga-tiga kertas siasatan terbabit ditutup atau NFA/KUS, iaitu tiada tindakan lanjut (NFA)/kemas untuk simpan (KUS).

Sehubungan itu Azalina menggesa semua pihak termasuk SPRM supaya tidak mempersoalkan keputusan Peguam Negara dalam isu berkenaan.

"Ia adalah keputusan yang patut dihormati semua pihak. Untuk itu semua pihak perlu berhenti membahaskannya terutama di dalam media sosial.

"Keputusan Peguam Negara dibuat setelah meneliti laporan yang dikemukakan daripada pelbagai sudut. Oleh itu semua pihak termasuk SPRM perlu patuh kepada keputusan tersebut," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain