suria

Azeez Kunci Mulut Dakwaan Paras Rizab Tabung Haji Negatif

PETALING JAYA: Pengerusi Lembaga Tabung Haji (LTH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengambil pendirian untuk 'mengunci mulut' berhubung rizab lembaga itu tidak dapat membayar dividen kepada pencarum pada tahun ini.

Azeez ketika dihubungi The Star berkata, beliau perlu membuat semakan di pejabat terlebih dahulu mengenai kebenaran surat yang didakwa dihantar ke LTH oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Beliau menambah, satu kenyataan akan dikeluarkan berhubung perkara tersebut.

Ketika ini, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan LTH, Tan Sri Ismee Ismail tidak dapat dihubungi bagi mengulas perkara berkenaan kerana menghadiri satu mesyuarat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom juga tidak dapat dihubungi.

Sebuah portal berita pada pagi Selasa melaporkan bahawa paras rizab LTH negatif dan tidak dapat membayar 8.8 juta pencarum sebarang dividen tahun ini jika tidak mengambil tindakan menyelesaikan masalah tersebut.

Dakwaan itu dikatakan dibuat berdasarkan surat bertarikh 23 Disember yang dihantar oleh Zeti kepada Azeez.

Zeti turut dilaporkan menghantar surat secara berasingan kepada Jamil Khir pada hari yang sama dengan memberi amaran keadaan kewangan Tabung Haji boleh memberi kesan kepada kerajaan.


Artikel Sebelum

Artikel Lain