suria

Mukhriz Yakin Ketegangan Di Kedah Berakhir Tidak Lama Lagi

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) memperkatakan sesuatu kepada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang menyambut ketibaan Najib di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi petang Sabtu. -fotoBERNAMA
LANGKAWI: Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sekali lagi melahirkan keyakinan bahawa 'ribut politik' di Kedah akan dapat diselesaikan tidak lama lagi.

Menteri Besar Kedah berkata, pelantikannya adalah sah dan berharap dapat terus berkhidmat.

"Kita mesti patuh kepada peraturan dan undang-undang," katanya ketika berucap kepada penyokongnya di Lapangan Terbang Langkawi pada Sabtu untuk mengalu-alukan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang melawat pulau itu.

Sehari sebelum itu, sekumpulan 54 ahli Umno termasuk pemimpin Umno bahagian bertemu Najib untuk mendapatkan campur tangan presiden Umno bagi menyingkirkan Mukhriz.


Bagaimanapun, difahamkan bahawa kumpulan itu masih belum mendapat sokongan daripada majoriti wakil rakyat Kedah untuk mengadakan undi tidak percaya.

Mukhriz berkata, masalah dalaman Umno tidak akan menjejaskan pentadbiran negeri dan beliau akan terus fokus untuk meneruskan agenda pembangunan negeri untuk manfaat rakyat.

Beliau kemudiannya menyambut Najib, yang berada di pulau itu untuk meraikan penerbangan sulung AirAsia Guangzhou-Langkawi yang dijadualkan pada Sabtu.

Najib dilihat berjabat tangan dengan Mukhriz. Beliau sebelum itu meletakkan tangannya di atas bahu menteri besar.

Presiden Otai Langkawi Bayu Geez berkata adalah sesuatu yang baik apabila melihat kedua-dua mereka tersenyum.

"Kami berharap ini menjadi satu petunjuk bahawa krisis di negeri ini dapat diselesaikan tidak lama lagi," katanya.

Beratus-ratus orang telah berkumpul di lapangan terbang itu untuk menunjukkan sokongan kepada Ketua Umno Kedah itu.

Di Alor Setar, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, yang mengetuai cubaan pemberontakan terhadap Mukhriz mendakwa bahawa kebanyakan pemimpin Umno negeri mahu Mukhriz disingkirkan.


"Kami telah hilang kepercayaan terhadap dia. Kita perlukan perubahan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang," kata beliau sambil menambah  isu ini tidak harus dibenarkan membarah.

Ahmad Bashah berkata ia bukan isu sama ada beliau akan dipilih untuk mengambil alih jawatan menteri besar atau tidak.

"Saya akan menyokong sesiapa yang dilantik sebagai menteri besar yang baru," kata Adun Bakar Bata itu.

Artikel Lain