suria

Dua Lelaki Ditahan Berhubung Kematian Lelaki Di Pusat Beli-Belah Di Kepong

KUALA LUMPUR: Dua orang lelaki ditahan berhubung kematian seorang lelaki yang ditemui mati dipukul di tangga sebuah pusat beli-belah di Kepong.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy berkata, suspek telah dikenal pasti melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan ditahan pada Selasa dan Rabu bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, polis masih mencari empat lagi suspek yang dipercayai telah menyerang dan membunuh lelaki itu berhubung pertikaian dadah.

Mangsa yang berusia 53 tahun, Foo Yong Eng, ditemui mati pada Selasa di tangga tingkat lima pusat beli-belah.

Dia ditemui tertiarap, berpakaian penuh, dengan percikan darah serta muka penuh lebam. Dia meninggal dunia akibat pendarahan dalaman akibat trauma benda tumpul di kepala.

Rakaman CCTV menunjukkan Yong Eng meletak kereta di pusat beli-belah itu awal pagi Selasa dan dilihat memasuki sebuah pusat karaoke dengan wanita yang tidak diketahui.

Setengah jam kemudian, kamera merakamkan gambar suspek mengekorinya ke tangga, di mana dia kemudiannya ditemui mati.
kes bunuh, dadah, Foo Yong Eng

Artikel Lain