suria

17 Lelaki Direman Bantu Siasatan Kes Serang, Samun

KUALA LUMPUR: Seramai 17 lelaki tempatan ditahan reman empat hari mulai Isnin, bagi membantu siasatan kes serang dan samun di Kampung Sungai Kayu Ara dan Dataran Pelangi Utama, Petaling Jaya.

Ini termasuk dua lelaki yang ditahan pada hari kejadian, Ahad.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata, 10 lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes serangan di sebuah stesen minyak di Kampung Sungai Kayu Ara.

Tujuh yang lain pula ditahan bagi membantu siasatan kes serangan di Dataran Pelangi Utama. 

Dalam kejadian awal pagi Ahad, tiga lelaki cedera parah diserang 10 lelaki bersenjatakan parang ketika mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Kampung Sungai Kayu Ara, dipercayai bermotifkan samun.

Susulan kejadian itu, lima daripada anggota kumpulan lelaki terbabit diserang pula sekumpulan lelaki lain dipercayai mempunyai kaitan dengan tiga mangsa samun terbabit, di Dataran Pelangi Utama. - Bernama

Artikel Lain