suria

Henti Sebar Khabar Angin Serangan Pengganas - Polis

Ibu pejabat PDRM di Bukit Aman.

KUALA LUMPUR: Polis menafikan laporan mengenai beberapa lokasi menjadi "sasaran" kumpulan pengganas.

Ketua Komunikasi Korporat, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad menegaskan bahawa polis tidak pernah menamakan lokasi khusus yang menjadi sasaran kumpulan pengganas.

"KPN hanya mengatakan bahawa polis mempertingkatkan kawalan keselamatan di tempat-tempat awam bagi memastikan keselamatan semua dan ia yang sedang dilakukan oleh pihak polis," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambahnya, polis sentiasa berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan.

Asmawati berkata, polis melihat penyebaran maklumat tidak sahih merupakan sesuatu yang serius kerana ia akan menimbulkan keresahan orang ramai.

"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mempercayai khabar angin seperti itu dan perlu henti menyebarkan berita-berita berkenaan yang boleh menimbulkan keresahan orang ramai, terutama yang bukan daripada sumber polis," katanya.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Tengku Mansor berkata, lokasi tumpuan pelancong yang popular seperti Bangsar, Publika dan Bukit Bintang telah dikenal pasti sebagai kemungkinan sasaran kumpulan pengganas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa bagaimanapun menasihatkan orang ramai untuk meneruskan aktiviti harian mereka, dengan memberi jaminan bahawa keselamatan orang ramai dan pelancong di ibu negara berada dalam keadaan terkawal.

Artikel Lain