suria

Tawau Rintis Kaedah Beli Gas Masak Tunjuk Mykad

Rosli Mahayuddin

TAWAU: Daerah Tawau di Sabah merupakan daerah pertama di negara ini melaksanakan penguatkuasaan yang mengkehendaki pengguna menunjukkan MyKad sebelum membeli gas memasak bersubsidi (gas petroleum cecair) di sini, mulai Jumaat.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Mohd Rosli Mahayudin berkata pelaksanaan penguatkuasaan itu bagi menangani masalah penyelewengan dan penyeludupan bekalan gas itu (LPG) ke negara jiran.

"Para peniaga di daerah ini khususnya Pulau Sebatik dilarang menjual bekalan LPG ini kepada orang luar semudahnya.

Setiap pembeli LPG perlu menunjukkan MyKad mereka sebelum dibenarkan membeli bekalan bersubsidi ini," katanya dalam sidang akhbar di sini, Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Mohd Rosli berkata kementeriannya kini sedang memperhalusi cadangan bagi melantik peniaga tempatan untuk membekalkan LPG tidak bersubsidi ke negara jiran.

"Kita akan perhalusi perkara ini dahulu dan sama ada sesuai untuk dilaksanakan di negara jiran itu atau tidak dan mengikut permintaan," katanya lagi.

Semalam, Ketua Pejabat KPDNKK Cawangan Tawau Peter J Berinus berkata selain pemegang MyKad, penjualan LPG juga dibenarkan kepada mereka yang berstatus Penduduk Tetap dan Sementara, pekerja asing berdaftar serta pelarian di bawah Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR).

Beliau berkata pengguna diharap dapat memberi kerjasama dalam pelaksanaan peraturan baharu yang diperkenalkan itu.

Peter berkata, mengikut Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961, pihak yang didapati terlibat atau bersubahat dalam kegiatan penyelewengan dan penyeludupan LPG boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, seorang pengguna dikenali sebagai Abdullah, 50 ketika ditemui Bernama berkata tindakan penguatkuasaan itu adalah inisitiaf terbaik kerajaan untuk memastikan ketirisan bekalan LPG ke negara jiran dapat dibendung.

"Saya tidak mempunyai masalah untuk mengeluarkan MyKad ketika membeli LPG seperti dikehendaki di kaunter pembayaran kelak yang penting bekalan LPG mencukupi di daerah ini," tambahnya lagi.-- Bernama

Tawau, gas masak, Mykad, Pulau Sebatik, LPG

Artikel Sebelum

Artikel Lain