suria

Abd Rashid Pesuruhjaya Polis Sabah Baharu Berkuat Kuasa Hari Ini

Jalaluddin (kiri) menyerahkan dokumen serah-terima tugas kepada Abd Rashid (kanan) pada majlis disaksikan Zulkifli (tengah) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Kota Kinabalu, Isnin. Foto Bernama

KOTA KINABALU: Bekas Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Datuk Abd Rashid Harun dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah baharu berkuat kuasa pada Isnin.

Beliau menggantikan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard di Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas antara Jalaluddin dan Abdul Rashid dijalankan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah disaksikan Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Pahlawan Zulkifli Abdullah.

Abd Rashid dalam ucapannya selepas majlis menandatangani nota serah/terima tugas itu berjanji mengekalkan legasi kepimpinan cemerlang Jalaluddin selama tempoh perkhidmatan satu tahun enam bulan menjadi Pesuruhjaya Polis Sabah.

"Tugas sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah sangat mencabar, namun saya harap dapat melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan baik.

"Oleh itu saya memerlukan kerjasama daripada semua semua pegawai kanan dan anggota IPK Sabah demi memantapkan segala operasi dirancang," katanya.

Abd Rashid berkata, beliau akan meneruskan segala perancangan termasuk perancangan operasi yang dilaksanakankan Jalaluddin bagi memantapkan IPK Sabah.

"Saya akan memberikan kerjasama erat dengan pihak ESSCom, bagi mempertingkatkan tahap keselamatan di Sabah khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone)," katanya.

Ketika ditanya mengenai pelaksanaan perintah berkurung, Abd Rashid berkata, arahan itu masih diperlukan dan akan diteruskan mengikut keperluan semasa.

"Kami dapati mereka (masyarakat di ESSZone) sangat mengalu-alukan perintah berkurung. Melalui perintah berkurung, keyakinan terhadap keselamatan di ESSZone dapat ditingkatkan," katanya.

Sementara itu, Jalaluddin yakin Abd Rashid mampu menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu.

"Abd Rashid mempunyai pengalaman luas bersama PDRM dan saya percaya beliau berupaya membantu polis kontinjen Sabah untuk terus cemerlang dengan kerjasama semua pegawai dan anggota IPK Sabah khususnya Ketua Polis Daerah," katanya. - Bernama

ESSCom, Abd Rashid Harun

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain