suria

Hentikan Spekulasi Isu Bauksit - Wan Junaidi

PETALING JAYA: Semua pihak perlu berhenti membuat spekulasi mengenai isu bauksit sehingga pengumuman rasmi dibuat oleh kerajaan negeri Pahang dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, kata Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaaafar.

"Semua pihak digesa tidak membuat sebarang spekulasi sehingga pengumuman dibuat tidak lama lagi," kata menteri itu menerusi kenyataan pada pagi Ahad.

Dr Wan Junaidi sekali lagi mengulangi bahawa beliau dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob akan mengeluarkan kenyataan berikutan keputusan Kabinet untuk menghentikan sementara perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang.

Pada Sabtu, Adnan berkata kerajaan Pahang dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan mengeluarkan kenyataan bersama mengenai isu ini.

Terbaru kegiatan perlombongan mineral itu juga dipercayai telah menjadi antara punca utama air di Sungai Balok dan air laut Pantai Batu Hitam bertukar menjadi merah semasa hujan lebat baru-baru ini.

Sementara itu tinjauan di Jalan Pintasan Kuantan menghala ke Pelabuhan Kuantan mendapati laluan yang sebelum ini sibuk dengan kenderaan berat mengangkut bauksit hampir lengang.

Lori-lori bauksit didapati diletakkan di tepi jalan berhampiran stesen minyak di kawasan perindustrian Gebeng dan Jalan Pintasan Kuantan dipercayai mempunyai kaitan dengan arahan itu.

Perlombongan bauksit telah dalam berita berikutan kebimbangan tentang kesan-kesan kesihatan debu bauksit, selain kebimbangan bahawa kawasan besar yang diterokai untuk perlombongan boleh membawa kepada banjir lumpur dan tanah runtuh.

Minggu lepas, laut di luar Pantai Batu Hitam dan Sungai Balok bertukar menjadi merah. Kejadian itu dipercayai berlaku akibat daripada hujan lebat yang kemudiannya dibawa bauksit dari lombong ke sungai-sungai dan ke dalam laut.

Bauksit

Artikel Lain