suria

1.6 Juta Penjawat Awam Terima Pemberian Khas Hari Ini

KUALA LUMPUR: Seramai 1.6 juta penjawat awam dan sejuta pesara kerajaan akan menerima pemberian khas masing-masing sebanyak RM500 dan RM250 pada Isnin.

Pemberian khas ini melibatkan peruntukan sebanyak RM645 juta, selaras pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2016 di Dewan Rakyat, pada 23 Oktober lalu.

Berdasarkan pekeliling dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 20 November lalu, pemberian itu bukan sahaja membabitkan pegawai awam lantikan tetap, malah kakitangan kontrak.

Ia termasuk pegawai lantikan sementara, perkhidmatan dalam kontrak, guru interim dan pekerja sambilan harian (PSH), tertakluk kepada syarat.

Bagi kakitangan yang meninggal dunia antara 1 Januari hingga 31 Disember 2015, mereka turut layak menerima pemberian RM500 tertakluk kepada beberapa syarat termasuk sudah berkhidmat sekurang-kurangnya 30 hari.

Selain pemberian khas tersebut, penjawat awam juga akan menerima beberapa lagi insentif lain yang terkandung dalam Bajet 2016. 

Ia termasuk menaik taraf skim perkhidmatan yang akan memberi manfaat kepada 406,000 kakitangan serta penetapan gaji permulaan terendah dalam Perkhidmatan Awam kepada RM1,200 sebulan, bakal memanfaatkan 60,000 penjawat awam.

Langkah-langkah yang dijadualkan dilaksanakan pada 1 Julai tahun ini akan membabitkan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion.

Selain itu, hampir 50,000 pesara yang mempunyai 25 tahun perkhidmatan akan menikmati pencen minimum tetap sebanyak RM950 sebulan.

Pegawai kontrak yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun akan diserap ke dalam perkhidmatan tetap dengan seramai 10,000 kakitangan bakal menerima manfaat ini.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda berkata pihaknya berterima kasih kepada kerajaan kerana bersetuju memberikan bantuan khas kewangan kepada semua kakitangan awam dan pesara.

"Kita tahu penjawat awam sememangnya menunggu bantuan seperti ini dan sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban penjawatan awam.

"Cuepacs ingin menyarankan kepada penjawat awam supaya menggunakan peruntukan yang bakal diterima itu dengan bijaksana," katanya.

Beliau berkata wang itu antaranya dapat menampung kos perbelanjaan persekolahan anak-anak bagi mereka yang bekeluarga.


bonus, penjawat awam

Artikel Lain