Mayat Kapten Hasman Hilang Dihanyut Banjir Di AS Ditemui - Semasa | mStar

Mayat Kapten Hasman Hilang Dihanyut Banjir Di AS Ditemui

Kapten Hasman Hussin.

PETALING JAYA: Mayat seorang pegawai Tentera Darat, Kapten Hasman Hussin yang dilaporkan hilang selepas kenderaan dinaikinya dihanyutkan arus banjir di Missouri, Amerika Syarikat (AS) pada 26 Disember lepas, ditemui.

Sumber dari Kementerian Pertahanan berkata, mayat Hasman ditemui pada kira-kira pukul 11 pagi Selasa waktu Missouri (1 pagi Rabu waktu Malaysia).

Berita itu telah dimaklumkan kepada keluarga mangsa dan difahamkan bahawa mereka akan diterbangkan ke AS untuk proses pengecaman mayat.

Terdahulu, Markas TD Wisma Pertahanan dalam kenyataan pada Selasa berkata Hasman menjalani kursus di Fort Leonard Wood sejak 1 Oktober lepas dan berakhir pada 15 April depan.

Markas TD dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Penolong Penasihat Pertahanan Kedutaan Malaysia di Washington DC, menurut kenyataan itu.

"Pada 28 Disember, jam 11.45 pagi (waktu tempatan) Timbalan Ketua Perwakilan di Malawakil Washington DC, Saiful Annuar, dihubungi wakil Jabatan Negara Amerika Syarikat yang memaklumkan pegawai itu (Hasman) disyaki hilang.

"Beliau bersama-sama empat lagi rakan kolej telah pergi bercuti pada Sabtu, 26 Disember dan kenderaan dinaiki mereka dilaporkan telah dihanyutkan dalam banjir semasa mengharungi laluan/jalan di Pulaski County, Missouri," kata kenyataan Markas TD itu.

Menurut kenyataan itu, empat mayat rakannya telah ditemui, namun Hasman masih hilang.


Kapten Hasman Hussin

Artikel Berkaitan

Artikel Lain