suria

Melaka Cadang Hukuman Lebih Berat Terhadap Kutu Sampah

MELAKA: Satu paparan 'memalukan' menyiarkan nama dan wajah, denda berat dan pesalah perlu berjalan dengan plakad yang tertera "Don't Mess With Melaka" atau "Jangan Kotorkan Melaka", dan kesemua cadangan ini akan diwujudkan untuk menangani masalah kutu sampah di bandaraya bersejarah itu.

Berjalan selama 10 minit dengan dipakaikan plakad berkenaan merupakan salah satu langkah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di bawah undang-undang kecil yang akan diluluskan pada bulan depan, dengan matlamat untuk menjadikan Melaka bersih sebagai tapak Warisan Dunia Unesco.

Selain dimalukan di khalayak ramai, mereka yang mengulangi keselahan akan berdepan dengan kompaun maksimum RM2,000 serta-merta.

Di bawah cadangan itu, para penganjur pasar malam, parti jalanan dan konsert akan berdepan dengan denda maksimum RM4,000.

Mereka yang melakukan kesalahan pertama perlu menandatangani "ikrar bersumpah" supaya tidak mengotori bandaraya itu di mahkamah majistret MBMB di Jalan Tun Sri Lanang di sini.

Mereka perlu menandatangi dokumen rasmi, menyediakan butiran peribadi mereka seperti kad pengenalan atau pasport (sekiranya kes melibatkan warga asing) dan janji untuk tidak membuat kotor lagi.

"Data mereka akan disenaraikan. Mereka akan berdepan dengan denda yang berat sekiranya mereka mengulangi kesalahan," kata pegawai khas MBMB, Mohd Yusof Abu Hassan.

Pesalah berulang juga perlu dibawa ke mahkamah dan didenda kerana melanggar "ikrar bersumpah".

Mereka boleh menghadapi tuduhan berasingan kerana menjejaskan kesihatan awam, keselamatan dan keselesaan kepada orang awam.

"Kompaun yang dikenakan ketika ini maksimum RM500 tidak membantu menangani golongan ini," katanya.

"Perkara itu telah dipersetujui oleh datuk bandar, Datuk Zainal Husin untuk membentangkan undang-undang kecil itu pada mesyuarat akan datang," katanya kepada The Star pada Isnin.

Beliau berkata, pelan tindakan mengenai kadar baharu kompaun telah diselesaikan.

Mohd Yusof berkata, sebaik undang-undang kecil itu dikuat kuasakan, ia akan meliputi kawasan tumpuan pelancong, hospital, tempat beribadat dan sekolah di bawah kawasan MBMB. Kawasan-kawasan ini termasuk kawasan popular iaitu Jonker Walk, pasar malam Uptown dan Pahlawan Walk.

Beliau berkata, MBMB tidak lagi bertolak ansur mengenai timbunan sampah yang dibuang merata-rata.

"Kita tidak lagi berlembut dengan kutu sampah," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Yusof berkata, cadangan "berjalan dengan malu" berserta plakad itu masih lagi di bawah pertimbangan kerana ia boleh mencetuskan kontroversi.

"Kita perlu berunding dengan penasihat perundangan negeri terlebih dahulu," katanya sambil menambah bahawa meletakkan gambar dan butiran pesalah-pesalah di tempat awam.

Mohd Yusof berkata, kawasan popular seperti Pahlawan Walk, The Stadthuys dan Jonker Walk ditimbuni sampah selepas malang sambutan Hari Krismas lalu.

Beliau berkata, rancangan untuk memeliharakan kebersihan di Melaka supaya sebaris dengan Singapura, susulan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron mengarahkan MBMB untuk menguatkuasakan kempen "Jangan Kotorkan Melaka" sepenuhnya.

Pada Isnin, Idris memberitahu The Star bahawa lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang di kawasan tumpuan pelancong dan lebih banyak pegawai penguatkuasaan akan melakukan penyamaran bagi mengesan pesalah.

"Walaupun sudah ada amaran dan slogan, tetapi ada segelintirnya masih degil. Kita mahu memberi pengajaran kepada mereka," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain