suria

Buruh Ditahan Miliki Dadah Bernilai RM12,000

SEREMBAN: Seorang buruh ditahan polis selepas didapati memiliki tiga bungkusan dadah dipercayai heroin dan sebungkus dadah syabu yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM12,000 di sini, Isnin.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Muhamad Zaki Harun berkata lelaki berusia 33 tahun itu ditahan ketika berada dalam keretanya bersama-sama sebuah beg berisi bungkusan dadah di Jalan Siamang Gagap di sini, pada 1 tengah hari.

"Tiga bungkusan dadah dipercayai jenis heroin seberat 700 gram dan satu paket dadah jenis syabu seberat 10 gram dijumpai dalam beg milik suspek.

Kedua-dua dadah itu bernilai RM12,000 mengikut harga pasaran," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Selasa.

Polis turut merampas kereta Perodua MyVi dan sebuah telefon bimbit daripada suspek.

Mohd Zaki berkata suspek, yang mempunyai tujuh rekod jenayah kes dadah, mendapat bekalan dadah dari luar daerah ini dan terlibat dengan pengedaran dadah sejak tiga bulan lepas.

"Siasatan lanjut juga mendapati suspek didapati positif dadah Methamphetamine," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Selasa.

Sehingga kini, IPD Seremban membuat 1,474 tangkapan melibatkan 1,373 kes dadah dengan heroin, ganja dan syabu antara yang sering dirampas polis. - BERNAMA

buruh, dadah, PDRM

Artikel Lain