suria

Dua Pusat Pemindahan Banjir Dibuka Di Hulu Terengganu

Jalan Matang-Sungai Tong di Kampung Tengkawang di tutup kepada kenderaan ringan akibat banjir pada Isnin. - fotoBERNAMA

HULU TERENGGANU: Sebanyak dua pusat pemindahan dibuka di Hulu Terengganu sehingga pukul 12 tengah hari Isnin dengan jumlah mangsa seramai 27 orang daripada 10 keluarga.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Daerah Hulu Terengganu berkata dua pusat pemindahan tersebut melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong iaitu di Dewan Seri Putih, Kampung Tok Lawit dan Balairaya Kampung Kemat.

"Pusat pemindahan banjir di Tok Lawit dibuka pada pukul 9 malam tadi melibatkan 17 mangsa banjir daripada lima keluarga manakala pusat pemindahan di Kampung Kemat dibuka pada pukul 10.15 pagi ini melibatkan 10 mangsa dan lima keluarga," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Rozi Mamat meminta penduduk di daerah Hulu Terengganu khususnya di DUN Telemong supaya berjaga-jaga berikutan hujan lebat yang turun sejak Sabtu.

"Hujan lebat boleh menyebabkan paras air sungai utama di beberapa kampung di daerah ini meningkat dan saya nasihatkan penduduk supaya bersiap sedia dan berpindah lebih awal sekiranya hujan masih tidak berhenti kerana kita tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku.

"Kalau dari petang hujan lebat tak henti-henti, kita nasihatkan supaya penduduk pindahlah cepat sebab kerja-kerja pemindahan dan menyelamat pada waktu malam lebih sukar. Jangan tunggu air masuk dalam rumah baru hendak pindah," katanya.

Rozi berkata penduduk tidak seharusnya berdegil dan perlu sentiasa mematuhi arahan daripada pihak berkuasa.

"Ada kes yang lalu, bila air sudah naik dalam rumah baru hendak pindah dan ini menyukarkan kerja menyelamat sebab air kadang-kadang mengalir laju dan bahaya. Kita tidak mahu perkara ini berlaku lagi.

"Bilik gerakan banjir dan pusat pemindahan sentiasa bersedia dan semua bekalan makanan lebih dari tiga hari juga telah disediakan, penduduk hanya perlu berpindah sahaja sebab apa yang penting ialah keselamatan dan nyawa," katanya. - BERNAMA


banjir, Hulu Terengganu

Artikel Lain