suria

Perayaan Krismas Disambut Meriah Dengan Tradisi Rumah Terbuka

Penganut Kristian menghadiri upacara keagamaan di St John's Cathedral sempena sambutan Hari Natal, Jumaat. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Perayaan Krismas disambut meriah di seluruh negara dengan penganut agama Kristian mengadakan rumah terbuka dan amalan kunjung mengunjung yang menjadi tradisi di negara ini.

Gereja-gereja di sekitar ibu negara menjadi tumpuan penganut agama Kristian termasuk warganegara asing bagi upacara keagamaan sejak malam tadi.

Kemeriahan perayaan itu turut dirasai dengan jalan-jalan utama serta pusat beli-belah di bandaraya ini turut dihiasi dengan lampu berwarna-warni dan hiasan pokok Krismas.

Bagi kebanyakan keluarga beragama Kristian, malam tadi dan tengah hari ini merupakan masa untuk keluarga berhimpun dan makan bersama setelah bersembahyang di gereja.

Cuaca cerah pada sebelah pagi telah menceriakan suasana sambutan perayaan Krismas, dan menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan diramalkan berlaku pada sebelah petang dan malam hari ini.

Di KUALA LUMPUR, jalan-jalan utama lengang berikutan ramai warga kota mengambil kesempatan pulang ke kampung atau keluar berlibur sempena cuti panjang selama empat hari bermula semalam dengan sambutan Maulidur Rasul diikuti dengan cuti umum hari ini sempena Krismas dan disambung dengan cuti hujung minggu, Sabtu dan Ahad.

Sementara pusat beli-belah dan tempat-tempat tarikan pelancong turut dibanjiri bukan sahaja oleh rakyat tempatan tetapi juga warga asing terutama mereka yang bekerja di sini.

Sementara itu di SARAWAK, beberapa gereja di sekitar bandar raya Kuching  antaranya St Joseph's Cathedral dan St Thomas' Cathedral di Jalan Tun Abang Haji Openg menjadi tumpuan penganut agama Kristian sejak awal pagi untuk acara keagamaan.

Sepertimana tradisi sambutan perayaan di negara ini, rumah terbuka bersempena sambutan Hari Krismas turut diadakan.

Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Negeri Sarawak yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tasik Biru, Datuk Peter Nansian Ngusie mengadakan rumah terbuka di pusat Persatuan Penyelidikan dan Pembangunan Pergerakan Singai Sarawak (Redeems), Kampung Apar di Bau, kira-kira 30 kilometer dari Kuching.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Anggota Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri turut menghadiri beberapa majlis rumah terbuka Hari Krismas di Simunjan, kira-kira 110 kilometer dari Kuching.

Di JOHOR BAHARU, Sultan Johor Sultan Ibrahim mengucapkan Selamat Menyambut Hari Natal kepada semua penganut Kristian yang menyambut perayaan Krismas hari ini.

Ucapan berkenaan dizahirkan Sultan Ibrahim menerusi laman Facebook baginda "Sultan Ibrahim Sultan Iskandar".

"Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Natal kepada semua penganut Kristian, semoga mereka dapat meraikannya dengan penuh kegembiraan dan kebahagiaan di samping keluarga dan rakan-rakan tersayang," titah Sultan Ibrahim menerusi laman berkenaan.

Sementara itu, perayaan Krismas disambut sederhana dengan gereja di sekitar bandar raya ini menjadi tumpuan para penganut Kristian sejak pagi untuk upacara keagamaan.

Antara gereja yang menjadi tumpuan ialah Holy Light dan Immaculate Conception di pusat bandar raya serta The Cathedral of the Sacred Heart of Jesus dan Presbyterian Tebrau di Taman Sri Tebrau.

Orang ramai pula dilihat mengambil kesempatan mengunjungi tempat-tempat menarik bersempena cuti umum Hari Krismas seperti kompleks beli-belah dan beberapa taman tema di bandar raya ini.

DI SABAH, Krismas disambut meriah dengan penganjuran rumah terbuka Parti Bersatu Sabah (PBS) di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Murut (KDCA) di Penampang.

Kira-kira 2,000 masyarakat pelbagai kaum di negeri ini memeriahkan majlis rumah terbuka itu, yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili serta barisan menteri Kabinet negeri.

Pelbagai acara menarik diadakan termasuk persembahan nyanyian dan koir.

Ketika ditemui pemberita, Ongkili yang juga Timbalan Presiden PBS berkata majlis rumah terbuka seumpama itu adalah penting bagi terus meraikan kepelbagaian yang terdapat di negara ini.

"Semua ini mencerminkan kekayaan Malaysia dari segi kepelbagaian kaum, budaya dan juga agama selain dapat menyatupadukan rakyat untuk hidup bersama dalam semangat kekitaan," katanya.

Di MELAKA, Krismas disambut meriah terutamanya bagi masyarakat Portugis di Kampung Portugis di sini dengan hiasan Krismas berwarna-warni serta kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara.

Penganut agama Kristian termasuk pelancong asing menyertai upacara keagamaan diadakan bermula petang semalam hingga pagi ini.

Antaranya di Gereja Christ dan Gereja St Paul, kedua-duanya gereja bersejarah terletak di Bandar Hilir di sini, serta Gereja St Francis Xavier di Jalan Banda Kaba dan Gereja St Peter di Jalan Bendahara.

Keadaan jalan raya, pusat beli-belah dan kawasan tarikan pelancong sesak dengan pengunjung apabila orang ramai mengambil kesempatan cuti umum perayaan Krismas untuk melawat negeri bersejarah ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2015 di Bandar Hilir di sini pada pukul 8 malam, Ahad ini.

Di IPOH, sambutan Krismas disambut secara sederhana dalam keadaan cuaca yang cerah dengan kebanyakan penganut agama Kristian berkunjung ke gereja di sekitar bandaraya ini untuk bersembahyang.

Seperti di tempat-tempat lain, perayaan itu turut diraikan masyarakat berbilang kaum yang mengunjungi rumah terbuka diadakan oleh rakan-rakan mereka yang beragama Kristian.

Orang ramai turut mengambil kesempatan untuk beriadah bersama-sama keluarga di kawasan tarikan pelancong seperti di Lost World Of Tambun dan juga pusat beli-belah.

Di GEORGE TOWN, Gereja St George dan Gereja St Francis di Lebuh Farquhar meriah dengan dibanjiri ribuan penganut agama Kristian untuk beribadat sejak petang semalam sehingga awal pagi ini.

Gereja St George, gereja tertua di Pulau Pinang, turut menjadi tumpuan para pelancong asing sejak awal pagi tadi untuk bergambar sambil menunaikan upacara keagamaan.

Gereja City Light, di Gat Lebuh Gereja turut memberikan makanan tengah hari percuma untuk 1,000 orang miskin dan gelandangan dari 10 pagi hingga 1.30 tengah hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati orang ramai mengambil kesempatan hari cuti perayaan Krismas untuk beriadah bersama-sama keluarga di kawasan tarikan pelancongan seperti Batu Ferringhi dan pusat beli-belah.

Artikel Berikut

Artikel Lain