suria

Suasana Sedih Selubungi Batu Pahat Dengan Ketibaan Mayat Mangsa

Chua Ah Guan, 59, (tengah) abang kepada mendiang Chua Ah Kim, 56, dipapah oleh dua rakannya kerana tidak dapat menahan kesedihan apabila melihat keranda adiknya sebaik tiba di rumah pengurusan mayat Persatuan Koon Yew pada 9.15 pagi Rabu. - fotoBERNAMA

BATU PAHAT: Mayat 13 orang rakyat Malaysia yang terbunuh dalam nahas bas di Thailand tiba di sini kira-kira pukul 9.15 pagi Rabu.

Mayat dibawa dengan van dari Pangkalan Udara TUDM Subang, Selangor yang berlepas kira-kira pukul 4.23 pagi termasuk sebuah ambulans yang membawa seorang mangsa yang cedera iaitu Lee Siw Kim, 61.

Sebelum itu jenazah diterbangkan ke Subang kira-kira pukul 3.30 pagi dalam dua pesawat C-130 termasuk sebuah milik Tentera Udara Diraja Thailand.

Suasana sedih menyelubungi apabila para keluarga dan sanak saudara menyambut ketibaan mayat.

Mayat dibawa ke tiga pusat mengurus mayat, sebuah berhala dan sebuah rumah.

Jenazah empat sekeluarga iaitu Low Chee Lan, 85, anak perempuan bongsunya Tan Sui Heng, 54, menantunya iaitu suami Sui Heng, Ker Bong Ngwang, 57, dan cucunya Tan Thin Thin, 39, dibawa ke rumah mayat Kesatuan Hoo Cheow Tong.

Sementara anak lelaki Low, Tan Yang Soon, 64, dan cucunya Ker Shin Hui, 28, terselamat dalam kejadian itu.

Seorang anggota keluarga berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Alice Lee berkata kesemua mayat keluarganya akan dibakar di Pagoh dekat Muar.

Mayat Thin Thin dijangka dibakar pada Jumaat ini manakala tiga yang lain pada Sabtu, katanya. - BERNAMA

nahas, Chiang Mai

Artikel Lain