suria

Fatwa Sah Jika Negeri-Negeri Wartakan Pengharaman Vape

PETALING JAYA: Umat Islam hanya boleh dihukum di bawah undang-undang Syariah  berkenaan vape mengikut negeri selepas penggunaan rokok elektronik yang difatwakan sebagai haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan diwartakan, kata pakar undang-undang Islam.

Prof Madya Dr Shamrahayu A. Aziz berkata fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, seperti pengharaman terhadap vape, tidak mempunyai peruntukan dibawah undang-undang tetapi akan dikuatkuasakan sebaik sahaja dipersetujui oleh kerajaan negeri.

"Setiap negeri mempunyai sebuah jawatankuasa fatwa dan jika jawatankuasa ini memutuskan untuk menerima fatwa tersebut, ia boleh mewartakannya dan kemudian melaksanakannya," kata Dr Shamrahayu yang juga Felo Utama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM),

Pada Isnin, Majlis Fatwa Kebangsaan mengisytiharkan vape sebagai haram dengan beberapa negeri dijangka mematuhi keputusan tersebut.

Buat masa ini, Mufti Wilayah Persekutuan telah memutuskan penggunaan rokok elektronik di kalangan umat Islam sebagai haram.

Bagi Pulau Pinang, Majlis Fatwa negeri itu turut memutuskan sedemikian pada 4 Disember lalu.

Dr Shamrahayu berkata hukuman bagi kesalahan tersebut akan ditentukan oleh peruntukan dalam enakmen negeri masing-masing.

Walaupun terikat dengan fatwa yang diwartakan, ada yang jarang dikuatkuasakan.

Sebagai contoh, carian di portal e-fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menunjukkan bahawa sekurang-sekurangnya dua negeri, Pulau Pinang dan Selangor mengisytiharkan rokok sebagai haram.

Malah Pulau Pinang turut mengisytiharkan umat Islam diharamkan untuk menjual rokok.

Kes membabitkan umat Islam didakwa di mahkamah Syariah kerana merokok di negeri ini boleh dikatakan tidak pernah kedengaran.

Timbalan Presiden Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman menyambut baik keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan penggunaan rokok elektronik dan vape.

Mohd Yusof berharap agar kerajaan negeri meneliti perkara ini dengan cara yang lebih proaktif.

Tambahnya, penggunaan vape bukan satu jalan penyelesaian kepada perokok yang mahu berhenti daripada tabiat itu.

Beliau berkata terdapat alternatif lain yang perlu dipertimbangkan.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr Ma’amor Osman berkata peraturan umum dalam Islam adalah apa-apa yang dianggap berbahaya akan diharamkan.

Menurut beliau, kandungan dalam cecair vape, rokok elektronik dan rokok adalah berbahaya terutama kepada mereka yang terdedah kepada asap rokok.

Dr Ma’amor berkata kerajaan juga perlu mempertimbangkan nasib peniaga vape dan rokok elektronik yang boleh mengalami kerugian.

"Tiada garis panduan dan peraturan yang betul sebelum ini, jadi beberapa peniaga mungkin melaburkan wang yang banyak untuk memulakan perniagaan ini.

"Kerajaan boleh membantu mereka dengan membeli aksesori tersebut pada harga kos atau jauh lebih rendah sebelum memusnahkannya," kata Dr Ma'amor.

vape, haram, Majlis Fatwa Kebangsaan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain