suria

Pergaduhan Di Kota Raya: Seorang Ditahan, 14 Diburu

KUALA LUMPUR: Seorang suspek kes pergaduhan di kompleks beli-belah Kota Raya ditahan polis semalam manakala 14 lagi suspek yang terbabit dalam kes itu masih diburu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Supt Habibi Majinji berkata suspek yang diburu itu melibatkan sekumpulan lelaki yang menjadi pelanggan dan jurujual telefon bimbit di kompleks berkenaan.

Suspek yang ditahan 5 petang selepas kejadian semalam ialah seorang lelaki berusia 38 tahun yang bekerja sebagai penjaga parkir di kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, Isnin.

Beliau berkata pergaduhan itu berlaku selepas sekumpulan lelaki dipercayai pelanggan, tidak berpuas hati dan mendakwa mereka ditipu oleh jurujual telefon bimbit terbabit.

"Polis akan mengeluarkan imej beberapa suspek yang terbabit dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata polis akan memohon reman terhadap suspek lelaki yang ditahan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun mendatangkan kecederaan.

Pada Ahad, sekumpulan lelaki dipercayai pelanggan dan jurujual telefon bimbit bergaduh di tingkat bawah kompleks beli belah Kota Raya di sini.

Klip video pergaduhan itu, yang berdurasi dua minit dan 30 saat, telah dimuat naik dalam YouTube.

Video itu menunjukkan beberapa lelaki bergaduh dengan jurujual di sebuah kedai telefon bimbit, dan ada yang membaling kerusi ke dalam kedai berkenaan.

Kota Raya, Dang Wangi, Gaduh

Artikel Lain