suria

Kanak-Kanak Hidap Sindrom Asperger Rasai 'Suasana' Bekerja Di Hotel

Sekumpulan kanak-kanak begitu teruja membuat biskut untuk aktiviti amal bersama Hotel Melia Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Bunyi jeritan dan ketawa sekumpulan kanak-kanak sambil menguli tepung jelas kedengaran ketika mereka sedang sibuk membuat biskut sempena musim cuti sekolah.

Namun, ia bukan satu sesi membuat kek seperti kebiasaannya tetapi pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan bagi kira-kira 22 kanak-kanak yang menghidap penyakit sindrom Asperger di bawah kelolaan kakitangan Hotel Melia Kuala Lumpur.

Kanak-kanak dari Pembangunan Asperger Malaysia Berhad (Adam) membantu kakitangan Hotel Melia membuat 22 kilogram biskut Krismas untuk dijual bagi mengumpul dana kebajikan.

Hasil penjualan biskut tersebut akan didermakan kepada pelbagai pertubuhan amal oleh Hotel Melia.

Adam adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan atas inisiatif ibu bapa kanak-kanak yang menghidap Sindrom Asperger bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai penyakit ini.

Ahli Adam dan penganjur program Sasha Tan memberitahu The Star bahawa beliau mengetahui mengenai aktiviti amal membuat biskut anjuran Hotel Melia dan menghubungi hotel tersebut untuk bertanya sama ada Adam boleh membantu usaha tersebut.

"Bukan sahaja Hotel Melia bersetuju untuk bersama-sama mengadakan acara amal tersebut malah mereka juga mahu menjadi tuan rumah bagi program Kemahiran Hidup Belia pertama kami.

"Kakitangan hotel tersebut bukan sahaja membantu kanak-kanak membuat biskut tetapi turut mengadakan sesi lawatan di sekitar hotel dan mendedahkan mereka dengan tugas kakitangan di setiap jabatan.

"Ia amat bermakna untuk kanak-kanak ini kerana mereka boleh merasai pengalaman suasana seperti bekerja di sebuah hotel," kata Tan.

Kanak-kanak tersebut mendengar dengan teliti apabila diajar terutamanya mengenai cara melipat tuala tangan dalam bentuk origami di bilik hotel.

Dan kebanyakan mereka mempelajari kemahiran rumit tersebut dengan begitu cepat.



Artikel Sebelum

Memahami Erti Hak Asasi Manusia

Artikel Berikut

PRN Sarawak Uji Keupayaan Adenan

Artikel Lain