suria

DBKL Tidak Lulus, Baharui Lesen Kedai Hanya Jual Arak

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan meluluskan atau memperbaharui lesen kedai yang hanya menjual minuman keras semata-mata, persidangan Dewan Negara diberitahu pada Khamis.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata ia merupakan usaha baharu yang diambil DBKL dan telah dimulakan di kawasan Brickfields serta akan diperluaskan ke seluruh Kuala Lumpur kelak.

"Kami mendapati terdapat beberapa kedai masih degil menjual minuman keras dan penguatkuasaan sedang dijalankan secara berperingkat di kawasan Brickfields," katanya dalam sesi soal jawab di sini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Jaspal Singh yang meminta penjelasan terhadap jenis-jenis lesen penjualan minuman keras yang dikeluarkan oleh DBKL dan polisi serta syarat pembaharuan lesen penjualan minuman keras.

Loga Bala berkata pemilik kedai yang memegang Lesen Runcit hanya dibenarkan menjual minuman keras di premis mulai jam 9 pagi sehingga 9 malam manakala pemilik Lesen Borong pula dibenarkan menjual dalam kuantiti yang banyak dengan had masa jualan yang sama dengan Lesen Runcit.

Katanya, pelesen yang gagal mematuhi had masa atau melanggar syarat akan dibatalkan lesen mereka tanpa mengira tempoh masa memperoleh lesen tersebut.

"DBKL juga menetapkan beberapa syarat pembaharuan lesen penjualan minuman keras seperti mengisi borang permohonan lesen minuman keras dengan menyertakan salinan kad pengenalan, salinan lesen premis yang sah dan salinan lesen minuman keras yang terdahulu," katanya.

DBKL, Arak

Artikel Sebelum

Artikel Lain