suria

Tahanan Lolos: SOP Jelas, Cuma Faktor Kecuaian Manusia

Tahanan yang meloloskan diri di Kampung Paya Jaras akhirnya ditahan semula di Kampung Sri Gombak.

KUALA SELANGOR: Polis mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang jelas bagi setiap anggotanya dalam pengendalian tahanan, kata Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat.

Sehubungan itu, beliau berkata tidak timbul soal wujud kelemahan dalam SOP tersebut sebaliknya setiap kes membabitkan tahanan berjaya meloloskan diri adalah berpunca daripada kecuaian manusia.

"SOP yang jelas memang sedia ada sekian lama cuma yang jadi masalah ialah human failure (kegagalan manusia...manusia kadang-kala leka.

"Jadi yang ini kita nak pertingkatkan iaitu kesedaran dan pemahaman kepada anggota serta pegawai kita apabila bawa tahanan keluar bagi tujuan follow-up dan sebagainya," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di sini, Isnin.

Abdul Samah dalam pada itu berkata siasatan terhadap kes seorang tahanan yang meloloskan diri di Paya Jaras, Sungai Buloh, minggu lepas, masih berjalan dan pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan jika wujudnya unsur kecuaian oleh anggotanya.

Selain tindakan tatatertib, tambahnya, anggota yang terlibat turut berdepan tindakan undang-undang.

"Jika ada unsur kecuaian yang jelas, bukan sahaja tindakan ke atas anggota berkenaan dari segi tatatertib tetapi juga dari segi perundangan kerana kesalahan di bawah Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan iaitu melarikan diri boleh didakwa dan yang cuai menyebabkan tahanan lari iaitu anggota polis juga boleh didakwa," katanya.

Pada 7 Disember, seorang tahanan berusia 34 tahun yang masih dalam keadaan bergari dan berbaju lokap jingga melarikan diri ketika berada di bawah tahanan polis daerah Klang Utara dalam satu operasi serbuan di Paya Jaras.

Tahanan itu dipercayai terlibat dengan 20 kes ragut dan samun sekitar Klang Utara, Sungai Buloh dan Damansara.

Bagaimanapun Sabtu lepas (12 Disember), suspek berjaya ditahan semula di rumah teman wanitanya di Kampung Sri Gombak Indah, Batu Caves dekat sini.

Terdahulu, Abdul Samah menyaksikan majlis serah tugas bekas Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Asisten Komisioner Mohd. Taib Ahmad kepada penggantinya, Supt Ruslan Abdullah yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam.

Mohd. Taib dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara.-- Bernama


Artikel Lain