suria

Ibu Tunggal Curi Pakaian Dipenjara 20 Hari

KUALA LUMPUR: Akibat mencuri baju, seluar dan pakaian dalam, seorang ibu tunggal dihukum penjara 20 hari dan denda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini, Isnin.

Majistret Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Norlida Muhammad, 31, selepas tertuduh mengaku bersalah mencuri 24 helai baju, seluar dan pakaian dalam yang kesemuanya bernilai RM1,157.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu semalam dan turut memerintahkannya dipenjara 20 hari jika gagal membayar denda.

Tertuduh yang tidak bekerja didakwa melakukan kesalahan itu bersama adiknya Noramira Muhammad, 20, seorang suri rumah di Pasaraya Aeon Jusco, Maluri, Cheras pada pukul 4.30 petang, Ahad.

Mahkamah bagaimanapun belum menjatuhkan hukuman terhadap Noramira kerana menunggu laporan akhlak dan membenarkannya diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 19 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda. 

Berdasarkan fakta kes pengadu yang merupakan pekerja di pasar raya itu telah melihat kedua-dua beradik itu dalam keadaan mencurigakan sedang memilih beberapa pakaian dan masuk ke dalam bilik persalinan.

Pengadu mengekori kedua-dua tertuduh apabila melihat mereka bergerak ke tempat parkir kereta selepas keluar dari bilik persalinan tanpa membuat sebarang bayaran. 

Ketika rayuan Norlida yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah, dia mencuri pakaian itu untuk kegunaan harian dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana dia perlu menanggung seorang anak berusia lapan tahun. 

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R. Siamalah. -- Bernama



Artikel Lain