suria

Ibu Bapa Mula Lebih Faham Konsep PT3 - Mahdzir

Datuk Seri Mahdzir Khalid
CYBERJAYA: Ibu bapa mula memahami dengan lebih baik konsep Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diperkenalkan sejak tahun lepas, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata PT3 iaitu satu daripada empat komponen di bawah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dianalisis oleh pihak sekolah dan bukan dilakukan secara berpusat.

Selain PT3, katanya, yang turut diambil kira ialah Pentaksiran Sekolah (PS); Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

Mahdzir berkata memandangkan sistem pendidikan negara telah lama mengamalkan peperiksaan berpusat bermula dari darjah 6, tingkatan 3 dan tingkatan 5, sistem PBS berkenaan masih dalam proses penerimaan para pelajar dan ibu bapa mereka.

"Namun, setelah dua kali PT3 dilakukan kita lihat ada peningkatan dari segi pemahaman ibu bapa mengenai keputusan peperiksaan anak-anak mereka dan kita lihat masyarakat mula menerima sistem baharu ini," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan PT3.

Keputusan PT3 2015 dikeluarkan hari ini. 
Beliau sebelum itu menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Multimedia Development Corporation (MDeC) dan International Society for Technology in Education (ISTE) bagi pembangunan persekitaran teknologi pendidikan mapan.

Mahdzir berkata sistem pentaksiran itu turut diaplikasi di negara-negara maju iaitu sekolah rendah dan menengah rendah tidak mempunyai peperiksaan berpusat dan peperiksaan hanya dibuat di peringkat sekolah.

PT3, PBS, Datuk Seri Mahdzir Khalid

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain