suria

Perjanjian Perubahan Iklim Paris 'Kejayaan Penting' - Setiausaha Agung PBB

Ban Ki-moon
NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon pada Sabtu mengucapkan tahniah kepada para penandatangan perjanjian Perubahan Iklim Paris yang disifatkannya sebagai "kejayaan penting bagi penduduk dan planet".

Ban berkata demikian ketika para penandatangan politik dan tetamu pada persidangan PBB mengenai perubahan iklim (COP21) meraikan kejayaan itu dan sesetengah daripada mereka menitiskan air mata gembira, menurut seorang diplomat PBB.

Dalam catatan di twitter sejurus selepas pemeteraian perjanjian itu, Ban  berkata perjanjian itu telah menggariskan langkah terhadap usaha pembasmian kemiskinan, peningkatan keamanan dan memastikan kehidupan bermaruah dan pewujudan peluang untuk semua.

Menteri Luar Perancis Laurent Fabius, selaku presiden COP21, mengumumkan kejayaan bersejarah itu yang disambut dengan tepukan gemuruh tetamu yang hadir bagi mengalu-alukan berita gembira itu.

Ini merupakan kejayaan besar sebagai tanda kesepakatan dalam perjanjian itu.

Setiap negara di dunia - semua 196 pihak dalam Kerangka Konvensyen mengenai Perubahan Iklim PBB (UNFCCC) - berikrar untuk membendung pengeluaran asap, meningkatkan daya tahan dan bersama-sama mengambil tindakan untuk menangani isu perubahan iklim.

Menegaskan perubahan iklim merupakan antara perkara diberi keutamaan oleh beliau selaku Setiausaha Agung, Ban berkata menerusi perjanjian itu, penduduk berpeluang untuk hiudp dalam dunia yang lebih selamat.

"Semua negara bersetuju untuk memastikan kenaikan suhu global adalah di bawah 2 darjah Celsius.

Dengan mengambil kira risiko teruknya, anda telah bersetuju untuk berusaha mengehadkan kenaikan suhu kepada 1.5 darjah," katanya.

Mekanisme semakan turut disediakan supaya, setiap lima tahun, bermula 2018, pihak-pihak dalam perjanjian akan melakukan semakan secara berkala untuk mengetahui sama ada langkah tambahan yang selaras dengan aspek sains, perlu diambil.

Ban turut menegaskan peranan penting yang perlu dimainkan sektor swasta untuk membendung pengeluaran asap.

Mengakhiri kenyataannya, Setiausaha Agung PBB itu berkata semua pihak patut berbangga dengan pemeteraian Perjanjian Paris dan bahawa "kerja bermula esok".

"Bagi hari ini, tahniah sekali lagi atas hasil kerja yang cemerlang," katanya. "Mari kita bekerja bersama-sama, dengan komitmen baharu, untuk menjadikan dunia ini lebih baik."

Artikel Lain