suria

"Jika Tentang Saya Bermakna Tolak Parti" - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran keras kepada ahli Umno supaya kembali bersatu dan memperkukuhkan ikatan dalaman parti itu.

Tegas Najib, jika masih wujud perbalahan dalaman, ia tidak lagi dianggap sebagai tentangan peribadi terhadap dirinya sebagai Presiden Umno.

"Namun dengan tegas saya mahu menyatakan jika seandainya mana-mana pihak masih lagi tetap menolak dan mahukan pertelagahan, ertinya, faham baik-baik, faham baik-baik.

“Kini bukan lagi soal peribadi, mereka bukan menentang saya Najib Razak sebagai presiden parti. tapi ternyata mereka tolak untuk cari titik pendamaian dan tolak keputusan syura parti atau jemaah Umno kita ini,” katanya di Dewan Merdeka, PWTC di sini, Sabtu.

Amaran dan peringatan keras itu dinyatakan Najib ketika menyampaikan ucapan penggulungan dan penangguhan sempena Perhimpunan Agung Umno 2015.

Pada penghujung ucapannya itu, Najib turut menghulurkan tali perdamaian kepada pihak yang mencetuskan masalah dalam Umno.

"Sebagai mengambil sempena ajaran Islam, saya nak beritahu bahawa saya Najib Razak sebagai Presiden Umno memilih untuk berjiwa besar.

"Saya memilih jiwa besar untuk membuka pintu serta jendela hati saya menghulurkan silaturahim kepada semua supaya kita dapat bersatu dan kembali kukuhkan ikatan Umno,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Selain bertepuk, Ahli Majlis Tertinggi dan semua perwakilan turut berdiri tanda menyokong seruan Najib itu.

Bagaimanapun Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berbuat demikian.

Pengerusi Tetap Umno, Tan Sri Badruddin Amiruldin turut meminta Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal berdiri setelah melihat bekas menteri Kabinet itu hanya duduk di kerusinya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain