suria

Suspek Larikan Diri Ditahan Semula

SHAH ALAM: Suspek kes samun dan ragut yang meloloskan diri ketika dalam tahanan polis pada Isnin lepas berjaya ditahan semula awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek berusia 34 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1 pagi ketika bersembunyi di sebuah rumah di Kampung Seri Gombak Indah, Batu Caves.

"Dalam operasi yang bermula pukul 10 malam, Jumaat dan berakhir 6 pagi Sabtu itu, polis turut menahan dua individu yang dipercayai membantu suspek dalam usahanya melarikan diri. Kedua-duanya ditahan di Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Sabtu.

Menurut Mohd Yusoff, polis turut merampas dua motosikal, lima telefon bimbit, pakaian serta pelbagai barangan kelengkapan lain yang digunakan suspek ketika melarikan diri.

Suspek yang merupakan penjenayah berbahaya kerana terlibat dalam 29 kes samun dan ragut, melarikan diri dalam keadaan tangan masih bergari dan memakai baju lokap.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.35 malam itu, suspek melarikan diri ketika berada di dalam van yang dikawal seorang anggota polis sementara beberapa lagi anggota termasuk pegawai ke rumah seorang lagi suspek.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain