Fasih Mandarin Bantu Gadis Melayu Tingkat Kerjaya - Semasa | mStar

Fasih Mandarin Bantu Gadis Melayu Tingkat Kerjaya

Lim berbincang sesuatu dengan Mas Izzati di pejabatnya.
KUALA LUMPUR: Seorang gadis Melayu yang fasih berbahasa Mandarin telah membuktikan kemampuannya kepada rakan-rakan dan majikannya di LBS Bina Group Bhd.

Dalam masa empat tahun, Mas Izzati Meor Roslan, 22, pernah menjadi penyambut tetamu, setiausaha dan pembantu peribadi kepada hartawan hartanah Tan Sri Lim Hock San.

Tugasnya sehari-hari termasuklah berurusan dengan ketua-ketua persatuan Cina, orang ramai dan sekolah-sekolah.

"Setelah belajar di sekolah rendah Cina, saya dapat memahami budayanya dengan baik. Ia membantu saya berkomunikasi dengan mereka lebih baik. Tidak ada halangan bahasa," katanya.

Selain menguruskan janji temu untuk Lim, tanggungjawabnya yang lain termasuklah memeriksa draf surat-suratnya dan juga menambah han yu pin yin (fonetik Cina) dengan kata-kata yang lebih sukar dalam ucapannya dalam bahasa Mandarin.

Mas Izzati, dari Sungai Way menunjukkan sifat-sifat kejayaan apabila diberi perhatian khusus daripada guru tahun enam di SJK (C) Sungai Way.

Dia mendapat A dalam kedua-dua kertas bahasa Cina untuk UPSR.

Sebagai satu-satunya pelajar bukan Cina di dalam kelas, Mas Izzati berkata dia terpaksa duduk di sebelah gurunya Ng Kim Hua ketika pembelajaran.

"Saya sentiasa menjadi 'mangsa'dan terpaksa membaca petikan dari buku teks di hadapan rakan sekelas," katanya mengimbas kembali dengan senyuman.

Ditambah dengan bantuan guru-guru lain, menjadikan dia mahir dalam membaca, bertutur dan menulis dalam bahasa Cina.

Lim yang juga Pengarah Urusan LBS Bina Group, berkata beliau mempunyai kepercayaan penuh terhadap Mas Izzati yang disifatkan sebagai seorang yang berdedikasi dan berfikiran waras walau berdepan tekanan.

"Saya terlibat dalam banyak organisasi bukan kerajaan dan persatuan-persatuan Cina dan bernasib baik apabila Mas Izzati tahu Mandarin. Dia bertemu dengan pemimpin-pemimpin bagi pihak saya apabila saya sibuk," katanya.

Lim berkata Mas Izzati akan meringkaskan apa yang berlaku dalam pertemuan itu dan memberi penjelasan kepadanya.

Bercakap mengenai kelebihan belajar pelbagai bahasa, Lim berkata terdapat trend yang semakin meningkat di kalangan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah Cina.

"Semuanya bergantung pada apa yang pasaran kerja mahukan. Ketika China kini muncul sebagai kuasa besar ekonomi yang baru, kini terdapat keperluan untuk pekerja bertutur bahasa Mandarin," katanya.

Lim juga tidak percaya kewujudan sekolah-sekolah Cina menyebabkan perpecahan antara kaum.

"Jika anda menghapuskan sekolah Cina, anda memusnahkan budaya Cina," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dana RM2.6b: Saya Di Pihak Benar - Najib

Klik

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain