suria

Selepas Muhyiddin, Shafie Gesa Najib Berehat

KUALA LUMPUR: Gesaan supaya Datuk Seri Najib Tun Razak berehat daripada jawatan sementara menunggu siasatan terhadap pelbagai dakwaan terhadapnya selesai semakin ketara.

Kali ini pemintaan itu disuarakan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal agar persepsi negatif terhadap perdana menteri dapat dibersihkan.

"Kalau ada siasatan, biarkan ia dibuat secara bebas untuk pastikan ia dilakukan tanpa ada gangguan mana-mana pihak.

"Sebelum ini ramai pegawai kerajaan disiasat, sementara menunggu siasatan, dia akan digantung (tugas)," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, Selasa.

Pandangan Shafie itu dilihat senada dengan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu Najib berehat sementara siasatan berhubung dakwaan penyelewengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dan politik RM2.6 bilion berjaya diselesaikan.

Muhyiddin dan Shafie masing-masing digugurkan daripada Kabinet Najib pada Julai lalu susulan kritikan terbuka mengenai isu 1MDB dan dana politik RM2.6 bilion.

Ditanya sama ada keputusan untuk berehat akan menimbulkan lebih banyak persepsi negatif kerana Najib merupakan pemimpin kerajaan, Shafie berkata perkara itu boleh dilakukan.

"Dahulu Datuk Harun Idris (bekas menteri besar selangor) disiasat kerana penyelewengan Bank Rakyat... takkan sekarang tak boleh?

"Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) tak ada kes pun, tapi dia serahkan jawatan terus," katanya.

Diminta mengulas sama ada beliau sebenarnya mahu Najib yang juga Presiden Umno berundur daripada jawatannya, Shafie berkata: "Adalah baik untuk beliau dengar pandangan rakyat".

Artikel Lain