suria

Kerajaan Negeri Rakam Takziah Atas Kemangkatan Tunku Abdul Jalil

Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim
JOHOR BAHARU: Kerajaan negeri Johor malam Sabtu merakamkan ucapan takziah atas kemangkatan Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kerajaan negeri dan seluruh rakyat jelata merafak sembah belasungkawa kepada seluruh kerabat diraja Johor di atas kemangkatan anakanda keempat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Tunku Abdul Jalil, 25, mangkat pada pukul 7.11 malam Sabtu di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini akibat kanser.

"Berita kemangkatan ini sangat mendukacitakan seluruh warga Johor dan Malaysia. Sesungguhnya kita kehilangan seorang putera terbaik bangsa yang selama ini menjadi aspirasi dan teladan yang unggul," kata beliau dalam kenyataan di sini.

Mohamed Khaled berkata keluhuran sahsiah Almarhum telah banyak mengajar rakyat Johor erti ketinggian dan kesantunan peribadi.

"Semoga kekentalan dan semangat Almarhum akan terus kekal bersama kita," kata menteri besar.

Mohamed Khaled berkata rakyat Johor akan terus mendoakan agar Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman dan dikasihi.

Sementara itu, bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam laman Facebooknya, turut merakamkan takziah kepada Sultan Johor, Permaisuri Johor dan seluruh kerabat diraja Johor.

Artikel Lain