Wartawan mStar Antara Pendaki Pertama Tawan Puncak Kinabalu Selepas Dibuka - Semasa | mStar

Wartawan mStar Antara Pendaki Pertama Tawan Puncak Kinabalu Selepas Dibuka

PETALING JAYA: Wartawan mStar Online merupakan antara pendaki pertama menawan puncak Gunung Kinabalu pada Rabu apabila ia dibuka semula selepas aktiviti pendakian dihentikan akibat gempa 5 Jun lalu.

Keceriaan jelas terpancar pada nada Izrayatul Maizura Abdul Rahman, 35, yang berulang kali mengucapkan kesyukuran kerana berjaya sampai ke puncak gunung pada ketinggian 4,905 meter itu.

"Alhamdulillah, saya berjaya sampai ke puncak dengan selamat selepas empat  jam setengah pendakian.

"Ini merupakan pertama kali saya sampai di puncak Kinabalu. Satu perasaan yang sukar untuk digambar dengan kata-kata. Apa yang pasti, ia merupakan satu pengalaman yang amat bermakna," katanya kepada wartawan mStar Online.

Izrayatul merupakan sebahagian daripada 135 pendaki termasuk pengamal media dan pelancong asing yang merupakan kumpulan pertama mendaki ke puncak Gunung Kinabalu menggunakan laluan baharu atau trail yang dikenali sebagai trail Ranau.

Izra semasa mendaki di Gunung Kinabalu.


Bagaimanapun, Izrayatul yang lebih mesra dengan panggilan Izra berkongsi perasaan hibanya apabila menceritakan tentang kerosakan gunung sepanjang pendakian.

"Perasaan sememangnya gembira tetapi lebih banyak beremosi sebab terkenangkan tragedi gempa bumi kerana kesan runtuhan seperti batu-batu dapat dilihat dengan jelas di depan mata.

"Sedih lihat parut dan kerosakan gunung terutama ikon ‘Telinga Keldai’ yang patah dan lubang besar pada puncak Tunku Abdul Rahman," katanya menahan sebak.

Menurut Izra, trail baharu lebih panjang dan curam berbanding trail lama tetapi cukup indah kerana memberi kelebihan dari segi landskap dan pemandangan.

"Trail baharu lebih mencabar, ada tangga yang tinggi dan curam. Masing-masing perlu guna tali dan gaung dapat dilihat. Kena hati-hati jangan tersalah langkah.

"Tetapi sepanjang laluan cukup indah yang dapat menaikkan lagi semangat pendaki untuk sampai ke puncak," katanya yang memulakan pendakian dari Timpohan Gate ke Laban Rata pada Selasa lalu untuk menginap sementara meneruskan pendakian pada awal pagi Rabu.

Izra yang merupakan anak kelahiran Parit Buntar, Perak ini sememangnya berminat dengan aktiviti lasak dan mendaki selain gemar melancong.

Anak sulung daripada lima beradik yang mendapat pendidikan Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik (Kewartawanan) di Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menceburi dunia kewartawanan selama 11 tahun.

Pada 5 Jun lalu, gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter itu telah meragut nyawa 18 orang, yang mana lima merupakan malim gunung dan jurulatih Mountain Torq, yang menguruskan laluan Via Ferrata iaitu laluan yang dilengkapi kemudahan pendakian berasaskan besi di Gunung Kinabalu.

Kinabalu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

Artikel Lain