suria

Muhyiddin Akan Hadir PAU Walau Jadi 'Tunggul' Di Pentas

Muhyiddin bersama ahli Umno ketika hadir di lobi Menara Dato' Onn, PWTC pada Rabu.

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 yang bakal berlangsung minggu depan, walaupun dirinya akan menjadi 'tunggul' di pentas.

Malahan, bekas timbalan perdana menteri itu turut menyuarakan hasratnya untuk memberi ucapan penggulungan walaupun difahamkan ia tidak akan berlaku.

"InsyaAllah saya timbalan presiden lagi. Saya hendak berucap tetapi saya diberitahu saya tak boleh berucap.

"Saya tidak diberi peluang untuk memberikan ucapan pada penggulungan. Saya akan jadi tunggul saja di atas pentas. Orang lain boleh bercakap tetapi timbalan presiden tak boleh bercakap," katanya kepada pemberita di lobi Menara Dato' Onn di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada akan menghadiri PAU 2015 susulan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno memutuskan bahawa ketiga-tiga mesyuarat sayap parti akan dirasmikan oleh ketua pergerakan masing-masing dan tidak lagi oleh timbalan presiden.

Muhyiddin bagaimanapun berkata, beliau menghormati suara akar umbi hari ini bagi menunjukkan bahawa 'di atas' tak boleh bercakap maka akar umbi yang seharusnya boleh bersuara.

"Tetapi kalau di atas tak boleh bercakap di bawah (akar umbi) tak boleh bercakap, apa makna operasi dalam Umno. Di mana demokrasi," katanya.

Muhyiddin hadir bagi memberikan sokongan kepada sembilan pemimpin cawangan Teluk Kemang yang dipanggil Lembaga Disiplin Umno pada Rabu berikutan gesaan mereka supaya Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai presiden pada Oktober lepas.

Isnin lalu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyerahkan kepada presiden dan anggota Majlis Tertinggi parti itu untuk menentukan sama ada Muhyiddin akan membuat ucapan penggulungan pada perhimpunan agung kali ini.

Bagaimanapun, beliau berkata tidak terdapat dalam perlembagaan parti bahawa timbalan presiden perlu membuat ucapan penggulungan seperti kelaziman sebelum ini.

Muhyiddin Yassin, PAU, Umno

Artikel Lain