suria

Bentang Laporan PAC Mengenai NFCorp Di Parlimen - Tony Pua

Tony Pua.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP, Tony Pua meminta supaya laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung National Feedlot Corporation (NFCorp) dibentangkan di Parlimen memandangkan kes berkenaan telah diselesaikan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, laporan PAC yang dikumpulkan dua tahun lalu sepatutnya dibentangkan untuk dibahaskan oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam masa seminggu memandangkan tiada lagi kes mahkamah tertangguh melibatkan NFCorp.

"Kita berharap Speaker akan membentangkan laporan mengenai NFCorp di Parlimen supaya tindakan susulan boleh diambil," katanya yang merupakan anggota PAC pada Selasa.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail sebelum ini melarang pembentangan laporan berkenaan di Parlimen pada Jun tahun lalu, dengan merujuk bahawa perbicaraan kes masih berjalan.

Minggu lalu, Pengerusi Eksekutif NFCorp, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail dibebaskan dengan dua pertuduhan pecah amanah berjumlah RM49.7 juta.

Salleh yang merupakan suami kepada bekas menteri, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil didakwa kerana menyalahgunakan dana NFCorp untuk membeli dua unit kondominium mewah di One Menerung, Bangsar.

Isu NFCorp mula disebut dalam laporan Ketua Audit Negara 2010 selepas projek yang mendapatkan dana kerajaan itu gagal memenuhi sasaran penternakan 8,000 lembu setahun. 

NFCorp

Artikel Lain