suria

Bekas CEO 1MDB Tampil Beri Penjelasan Kepada PAC

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi tampil memberi keterangan kali kedua kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Isnin. 

Shahrol tiba kira-kira pukul 10 pagi di bangunan Parlimen sebelum sesi memberi keterangan bermula yang turut dihadiri Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin dan anggota jawatankuasa PAC.

Pada 25 November lepas, PAC memanggil Shahrol pada pendengaran kali pertama untuk memberi keterangan berkaitan pembentukan 1MDB, yang dilapor berlaku dalam 2009 ketika di bawah pengurusan beliau.

Hasan dilapor sebagai berkata PAC memanggil semula Shahrol untuk pendengaran kali kedua berikutan ada beberapa maklumat yang harus dimaklumkan semula sebelum PAC mendengar keterangan daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy pada Selasa (1 Dis).

Hasan dalam kenyataannya sebelum ini turut menjelaskan ia dilakukan agar PAC dapat membentangkan satu laporan jawatankuasa dengan lebih telus, menyeluruh serta adil. -Bernama

Artikel Lain