suria

Tiada Isu Jika Umat Islam Sertai Perayaan Agama Lain - Sultan Johor

KLUANG: Tiada sebarang isu jika umat Islam menyambut perayaan bersama rakan dari bangsa dan agama lain, titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Titah baginda, meraikan perayaan bersama bangsa lain adalah tanda hormat kepada kenalan dan jiran.

"Inilah Bangsa Johor. Ia menggalakkan keakraban, toleransi dan hormat menghormati antara satu sama lain dengan mengetepikan bangsa serta agama.

"Kita patut sambut secara aman dan harmoni," titah baginda ketika sambutan Deepavali anjuran Persekutuan Persatuan India Johor (Gappin), Ahad.

Kira-kira 1,600 tetamu hadir bagi menyambut perayaan itu yang berlangsung di Dataran Tasik Kluang.

Baginda berharap lebih banyak sambutan dapat dianjurkan untuk perayaan lain seperti Hari Raya, Tahun Baharu Cina dan Krismas.

"Acara seperti ini membawa makna berharga kerana ia dapat membaiki hubungan antara saya dan rakyat," katanya.

Sultan Ibrahim juga mengingatkan komuniti India supaya tidak berpecah belah kerana ideologi politik berbeza atau membenarkan mana-mana pihak menyebabkan ia berlaku.

"Jangan ganggu. Ini amaran saya kepada yang berhasrat berkunjung ke Johor dan memecahbelahkan penduduk negeri ini," titah baginda lagi.

Baginda juga menegaskan, tiada negara yang dapat membangun jika rakyatnya tidak bersatu padu.

"Rakyat perlu fikirkan cara dan apa yang mereka mahu capai," titahnya.

Artikel Lain