suria

Najib Mahu Bajet 2016 Dipantau, Dilaksana Ikut Tempoh Ditetapkan

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pelaksanaan Bajet 2016 dipantau bagi memastikan semua perancangan dapat dilaksanakan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pelaksanaan Bajet 2016 yang bertemakan 'Mensejahtera Kehidupan Rakyat'  harus dipantau dengan langkah susulan.

"Kementerian Kewangan belum habis tugas. Justeru perlu ada langkah susulan dari segi pemantauan termasuk langkah intervensi kalau ada cerutan dalam pelaksanaannya," katanya pada Majlis Malam Bajet 2016 dan Persaraan Pegawai Perbendaharaan Malaysia 2015, di sini Khamis malam.

Dalam pembentangan Bajet 2016 pada 23 Oktober lalu lepas, Najib menggariskan lima tunjang utama iaitu memperteguh ketahanan ekonomi negara, meningkatkan produktiviti, inovasi dan teknologi hijau, mempersiaga modal insan, memperkasa agenda Bumiputera dan meringankan kos sara hidup rakyat.

Hadir sama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah; Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Johari Abdul Ghani dan Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Chua Tee Yong dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Pada majlis itu, Najib juga merakamkan penghargaan kepada pegawai Kementerian Kewangan yang memberi sumbangan dan khidmat bakti mereka dalam penyediaan Bajet 2016 dan Laporan Ekonomi 2015.

Beliau berkata bajet pada kali ini antara paling sukar untuk diolah berikutan antara lainnya adalah kerana kejatuhan ketara harga minyak dunia yang di luar kawalan kerajaan.

Ini menyebabkan hasil negara  menjunam  ke paras yang di mana kita terpaksa menerima hakikat pengurangan hasil negara lebih RM30 bilion berbanding tahun sebelum ini, katanya.

"Namun, kita bersyukur bahawa kerajaan dapat menampung kejatuhan yang begitu ketara sekali kerana kita memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan melaluinya kita memperolehi hasil tambahan RM21 bilion," katanya sambil menambah bahawa ia dapat menampung kekurangan hasil kejatuhan minyak.

Justeru, perdana menteri berkata kerajaan masih mampu mempertahankan pelbagai program yang dilaksanakan sebelum ini seperti BR1M dan Bantuan Persekolahan dan pada masa yang sama dapat melaksana program baharu seperti bantuan khas kepada penoreh getah dan pesawah.

Menurutnya semua pihak harus bersyukur kerana langkah yang diambil kerajaan menunjukkan negara berada di landasan kukuh dalam pengurusan kewangan dan fiskal negara.

"Kita telah mengambil langkah-langah berhemah serta kita juga membuat perancangan jangka masa panjang dan bertanggungjawab bukannya mengambil jalan pintas untuk mencari modal politik dengan mengambil langkah populis tetapi memberi kesan buruk kepada negara," katanya.-Bernama

Artikel Lain