suria

Liong Sik Akan Failkan Saman Pernyataan Pembelaan Sebelum 15 Disember

Najib failkan saman kepada Liong Sik berhubung kenyataan berbaur fitnah.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memberikan tambahan masa kepada bekas presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik untuk memfailkan pernyataan pembelaannya dalam satu saman yang difailkan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kenyataan berbaur fitnah terhadap Perdana Menteri.

Peguam Dr Ling, Gregory Ling memberitahu pemberita bahawa mahkamah memberikan masa kepada anak guamnya sehingga 15 Disember untuk memfailkan pernyataan pembelaan dan Najib perlu menjawabnya sebelum 29 Disember.

Beliau berkata kedua-dua pihak bersetuju dengan tambahan masa itu dan Hakim Datuk John Louis O'Hara menetapkan 11 Jan untuk pengurusdan kes.

Peguam Nor Emelia Mohd Iszeham yang mewakili Najib, berkata hari terakhir untuk Dr Ling memfailkan pernyataan pembelaannya akan tamat pada Jumaat dan hari ini mahkamah memberikannya tambahan masa.

Pada 27 Oktober lepas, Najib menyaman Ling antara lain memohon perintah supaya Dr Ling menyiarkan kenyataan memohon maaf dalam akhbar atau majalah yang dikenal pasti oleh Najib, dalam bentuk dan terma yang akan ditentukan oleh plaintif (Najib).

Dalam kenyataan tuntutannya, Najib juga memohon injunksi untuk menghalang Dr Ling, atau melalui kakitangan atau ejennya, daripada terus menuturkan atau menyiarkan apa-apa kenyataan berbaur fitnah atau apa-apa perkataan berbaur fitnah yang serupa terhadapnya.

Beliau juga memohon ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Najib berkata Dr Ling telah secara palsu dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya semasa menghadiri satu upacara di sebuah kolej universiti di sini, yang disiarkan dalam portal berita pada 3 Oktober menerusi satu artikel.

Perdana Menteri mendakwa bahawa defendan telah menuturkan perkataan-perkataan berbaur fitnah dengan berniat jahat supaya plaintif berada dalam kancah skandal, dipandang hina dan kebencian.    

Najib berkata mengikut pengertian nyata dan biasa, perkataan-perkataan yang diterbitkan dalam artikel itu difahamkan membawa maksud, antara lain, beliau telah menggelapkan dana awam ke dalam akaun peribadi beliau, dan bahawa beliau telah menyalah guna dana itu untuk kepentingan peribadi, dan beliau menyalah guna dana itu untuk meraih kekayaan dan keuntungan untuk kepentingan dan keuntungan peribadi.

Najib mendakwa bahawa perkataan-perkataan berbaur fitnah itu adalah tuduhan yang tidak berasas dan tanpa apa-apa asas atau bukti.

Artikel Lain