suria

KDN Cadang Pindaan Undang-Undang Tangani Judi Haram Dalam Talian

Datuk Nur Jazlan Mohamed
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan undang-undang tertentu diperkasakan bagi membanteras kegiatan perjudian haram secara berkesan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata undang-undang itu seperti Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Loteri 1952 dan Akta Pertaruhan 1953.

"Selain itu, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga perlu diubah suai supaya ia mengambil kira perjudian secara online serta kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan melalui pindaan Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 1998," katanya.

Nur Jazlan berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Sapawi Ahmad Wasali (BN-Sipitang) mengenai kegiatan membanteras perjudian haram.

Katanya sebanyak 109,000 serbuan telah dibuat oleh PDRM dalam usaha membanteras kegiatan perjudian haram setakat bulan ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu Rabu.

Daripada jumlah itu, 5,834 serbuan telah berjaya dilaksanakan dengan jumlah tangkapan sebanyak 15,154 orang membabitkan penganjur dan pejudi.

"Daripada serbuan itu juga, pihak polis telah merampas sebanyak 70,149 buah mesin dan alat-alat perjudian dengan kos kasar berjumlah RM70.1 juta beranggaran RM1,000 setiap mesin dan peralatan tersebut," katanya.

Katanya walaupun polis telah menjalankan operasi khas melalui Skuad Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gengsterism (STAGG), masih ada lagi aktiviti perjudian haram yang masih belum dibanteras sepenuhnya.

"Hal ini kerana modus operandi yang digunakan oleh pengusaha perjudian ini berubah-ubah dan mereka didapati sering beroperasi di sebalik premis berlesen, rumah kediaman serta kondominium yang tidak dapat dikesan oleh pihak polis," katanya.

Mengulas lanjut Nur Jazlan berkata pihaknya telah membentangkan nota maklumat perjudian haram pada Oktober tahun lepas dan Mac tahun ini ketika mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi menggariskan cadangan kaedah pelaksanaan aktiviti perjudian tanpa lesen.

"Bagi menangani tauke-tauke perjudian haram itu, kami turut mencadangkan untuk memperkasakan penggunaan POTA (Akta Pencegahan Keganasan) 2015 bagi menangani perjudian haram secara berkesan," katanya.

Artikel Lain