suria

Kerjasama Malaysia-India Bina Pusat Konvensyen Di Delhi

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan Perdana Menteri India Narendra Modi selepas sidang media bersama rakan sejawatnya dari India itu di Bangunan Perdana Putra, Isnin.
 -fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Malaysia dan India akan bekerjasama di peringkat kerajaan dengan kerajaan (G2G) untuk bersama-sama membina pusat konvensyen baharu di Delhi, India.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rakan sejawatannya dari India, Narendra Modi telah menyatakan kesediaan untuk jalinan sedemikian.

"Bagi membolehkan ini berlaku, kita akan melantik wakil khas dari kedua-dua pihak agar projek ini dapat dilaksanakan dengan segera.

"Perdana Menteri Modi seorang yang mementingkan tindakan. Belia mahu sesuatu perkara dilaksanakan dengan cepat dan mempunyai rekod prestasi yang baik sebagai ketua menteri.

"Sekarang sebagai perdana menteri, beliau memberitahu saya bahawa pembinaan jalan-jalan (di India) telah dilaksanakan dengan lebih cepat berbanding dari dua  kilometer (KM) kepada 18 KM sehari," katanya kepada pemberita pada sidang media bersama dengan Modi.

Najib berkata beliau teruja dengan kemungkinan kedua-dua negara menggunakan strategi yang sama bagi projek-projek berpotensi seperti landasan kereta api berkelajuan tinggi, lebuh raya dan pembinaan infrastruktur baharu.

Kedua-dua perdana menteri hari ini menandatangani memorandum persefahaman bagi Malaysia dan India untuk terus meningkatkan kerjasama dalam bidang pengurusan prestasi, penyampaian projek dan pemantauan berkaitan program kerajaan dan penyampaian.

Najib menegaskan bahawa kedua-dua negara juga turut mengenal pasti bidang baharu kerjasama untuk diterokai yang dapat meningkatkan hubungan ke tahap lebih tinggi.

Ini termasuk pembangunan infrastruktur, kerjasama pertahanan, perubatan  tradisional dan pembangunan kerjasama pengurusan.

"Kerajaan India turut mempelawa pelabur Malaysia untuk mengambil bahagian dalam aktiviti ekonomi berikutan inisiatif perniagaan dan pembangunan baharu yang dilaksanakan oleh India.

Beberapa inisiatif baharu itu termasuk 'Make in India', 'Digital India', 'Smart Cities' dan 'Skills Development' menawarkan peluang yang luas bagi perniagaan Malaysia di India.

Modi tiba di Kuala Lumpur pada Sabtu bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang Kemuncak berkaitan yang baru berakhir.

Lawatan ini juga merupakan lawatan rasmi pertama beliau ke Malaysia selepas memegang jawatan pada 2014.

Sementara itu, Modi berkata Malaysia dan India menikmati perkongsian menyeluruh dan kedua-dua negara berkongsi persamaan dalam banyak dimensi serta kepelbagaian.

"Syarikat-syarikat Malaysia terlibat dalam beberapa projek pembangunan luar bandar di India dan terdapat banyak firma India yang telah bertapak kukuh di Malaysia," katanya.

Modi dijangka menemui ketua-ketua pegawai eksekutif syarikat-syarikat Malaysia untuk meneroka sinergi potensi antara sektor swasta kedua-dua negara.

Artikel Lain