suria

Anggota Parlimen Kelana Jaya Mohon Maaf KepadaYusof Annuar

Wong Chen

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Kelana Jaya Wong Chen pada Rabu memohon maaf kepada Pengarah Urusan Goldman Sachs Malaysia Datuk Yusof Annuar Yaacob kerana tersilap meletakkan namanya bagi soalan yang hendak ditanya di Parlimen.


"Saya mengaku tersilap meletakkan nama Datuk Yusof Annuar Yaacob dan bukan sebaliknya nama Datuk Suboh Md Yassin (pengarah SRC International Sdn Bhd Datuk Suboh Md Yassin). Atas kesilapan itu, saya dengan ini secara terbuka memohon maaf kepada Datuk Yusof Annuar Yaacob," kata beliau dalam satu kenyataan di sini.

Dalam soalan kepada Menteri Dalam Negeri di Dewan Rakyat, Wong bertanya mengenai di mana jutawan Low Taek Jho atau Jho Low, bekas pengarah eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Casey Tang Keng Chee dan Jasmine Loo Ai Swan, pengarah urusan SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dan Yusof berada.

Kementerian Dalam Negeri dalam jawapan bertulis kepada soalan Wong pada Selasa berkata polis tidak dapat mengesan Low, Tang, Loo, Nik Faisal Ariff dan Yusof. Nik Faisal dan Low dikehendaki oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan berkaitan SRC International, manakala Tang dan Loo dikehendaki oleh Bank Negara Malaysia untuk membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 untuk membantu siasatan berkaitan 1MDB.  

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata Wong boleh dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Dewan Rakyat kerana membuat tuduhan yang salah.

"Pada masa akan datang, saya ingin mengingatkan supaya tidak membuat tuduhan yang palsu atau tuduhan yang tidak dapat dibuktikan. Beliau mengaku kesilapannya meletakkan nama Datuk Yusof, beliau harus memohon maaf secara terbuka," kata beliau kepada pemberita di lobi Bangunan Parlimen.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bapa Maut Dipukul Anak OKU

Artikel Lain